Berita Hari Ini

Kes Jenayah Ugut, Pemerasan Menerusi Video Membimbangkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 180 kes jenayah ugutan direkodkan di Selangor, dari Januari lalu sehingga bulan ini.

Daripada jumlah itu, 110 kes membabitkan individu tidak dikenali menghantar video untuk mengganggu mangsa dan 42 kes membabitkan kenalan mangsa seperti bekas suami atau bekas teman lelaki.

Baki 28 kes membabitkan mangsa diperdaya dengan sindiket iaitu mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa untuk memberikan video aksi lucah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata aplikasi digunakan sindiket terbabit termasuk WeChat, Facebook, Michat, Line dan WhatsApp selain laman web seperti Locanto.asia serta GODATE2NIGHT.

Katanya, sindiket ini membuat ugutan terhadap mangsa dengan meminta wang di antara RM10,000 hingga RM20,000 dan sekiranya mangsa gagal membuat bayaran itu, sindiket akan menyebarkan gambar bogel mangsa di media sosial selain kepada ahli keluarga dan rakan.

“Sejak kebelakangan ini, hangat diperkatakan isu berkaitan mangsa sama ada lelaki atau wanita di usia remaja, dewasa malah warga emas yang terpedaya dengan suspek dikenali di ruangan siber sehingga sanggup berkongsi gambar diri mereka dalam aksi berbogel atau lucah dengan suspek.

“Selepas berbual mesra di laman sosial, mangsa yang berkongsi aksi seksi dan lucah ini akhirnya terperangkap dalam jenayah pemerasan membabitkan kerugian ribuan ringgit.

“Mangsa akhirnya akan diugut rakan maya mereka. Jika tidak membayar sejumlah wang diminta maka gambar atau video ditangkap ditangkap layar oleh suspek akan disebarkan.

“Oleh kerana takut dimalukan, maka mangsa akan membayar wang seperti diminta melalui nombor akaun diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, sindiket akan memperdaya mangsa menggunakan media sosial tanpa mengira latar belakang mangsa seperti jantina, umur serta bangsa.

Katanya, mangsa akan diperdaya sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan diberikan oleh sindiket.

“Sindiket kemudian akan merekod video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkan video serta gambar itu.

“Pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu daya sebegini. Pelbagai cara dibuat suspek bagi memperdayakan mangsa.

“Dengan bahasa lain lebih mudah ialah masyarakat perlu bijak menggunakan media sosial dan perlu diingatkan aksi yang mereka lakukan secara langsung di media sosial amat mudah dirakam dan disimpan oleh pihak kedua.

“Janganlah mempercayai sesiapa saja yang baru dikenali di media sosial kerana ramai menjadi mangsa kepada kumpulan ‘scammer’ ini,” katanya.

— Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");