Berita Hari Ini

KWSP umum syarat, kriteria pengeluaran i-Sinar

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengeluarkan syarat-syarat kemudahan i-Sinar yang dibuka kepada 8 juta pencarum yang layak.

Syarat-syarat ini terbahagi kepada dua kategori.

Kategori 1 adalah termasuk ahli yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi Kategori 1 adalah:

1. Ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan; ATAU

2. Ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30% dan ke atas selepas 1 Mac 2020.

Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan; kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP dan ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020.

Pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021.

Untuk Kategori 2 pula untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.

iSinar_KWSP_001

Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan; dan notis pemberhentian atau pemotongan elaun dan/atau tuntutan kerja lebih masa.

Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang Dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan.

KWSP berkata, bagi kategori ini, ahli boleh memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 11 Januari 2021.

Untuk memastikan permohonan dipertimbangkan dengan terperinci, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.

Jumlah kelayakan i-Sinar untuk kategori ini tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti berikut:

a. Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b. Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10% atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Bagi memastikan kelancaran proses permohonan, ahli digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini nombor telefon bimbit untuk menerima Transaction Authorisation Code (TAC) di kios atau kaunter KWSP, dan memastikan nombor akaun bank mereka adalah aktif. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");