Berita Hari Ini

Lebih 56,000 banduan jalani pemulihan di luar penjara

Seramai 56,247 individu sudah dan sedang menjalani proses pemulihan di luar penjara, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Menurut Hamzah langkah mempergiat pelaksanaan sistem parol, perintah kehadiran wajib dan Pusat Pemulihan Pemasyarakatan itu adalah antara langkah diambil kerajaan bagi menangani masalah kesesakan dalam penjara.

“Jabatan Penjara Malaysia bukan sahaja mengambil pendekatan pembinaan blok tambahan di beberapa institusi penjara sedia ada malah beberapa langkah proaktif turut diambil untuk menangani masalah kesesakan serta membendung penularan penyakit-berjangkit,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Ahli parlimen Larut itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan rancangan jangka masa pendek dan panjang untuk mengurangkan kepadatan banduan di semua penjara bagi membendung penularan penyakit berjangkit.X

Menurut Hamzah Jabatan Penjara juga melaksanakan ketetapan berasaskan pindaan kepada Peraturan 111(1), Peraturan-Peraturan Penjara 2000 melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) untuk banduan yang mana hukumannya kurang dari setahun.

“Melalui program tersebut, banduan yang memenuhi syarat pemilihan boleh mengikuti program seperti latihan pekerjaan di sektor perkilangan, pembuatan, pembinaan, perkhidmatan dan pertanian.

“PBSL yang ditubuhkan oleh Jabatan Penjara melibatkan keahlian pihak luar selain penglibatan Jabatan Penjara sendiri,” katanya.

Melalui mesyuarat pertamanya pada awal Oktober lalu kata Hamzah PBSL menilai laporan untuk 1,200 banduan yang layak dan mengesyorkan kepada sejumlah banduan yang wajar diberikan pelepasan secara lesen.

“Pada ketika ini terdapat sekitar 11,000 banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan kurang dari setahun,” katanya.

Turut dilakukan kata Hamzah menjalin kerjasama dengan mahkamah dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mempercepat proses penghantaran pulang banduan warga asing yang telah selesai menjalani hukuman.

Kerajaan juga katanya menjadikan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai penempatan banduan sabitan dan reman bagi kategori keselamatan minumum.

Sementara itu menjawab soalah Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Hamzah berkata sehingga 3 Nov lalu seramai 1,160 banduan dijangkiti Covid-19 manakala 125 anggota Jabatan Penjara dan keluarga mereka turut disahkan positif wabak tersebut.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");