Perak Hari Ini

Lima ADUN Termasuk Dua Daripada PAS Angkat Sumpah EXCO Perak

IPOH – Lima muka lama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada PAS mengisi semula kekosongan kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak selepas kesemua mereka mengangkat sumpah jawatan, hari ini.

Dua ADUN daripada PAS tersebut adalah ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria dan Mohd Akmal Kamaruddin (Selama).

Selain itu, turut dilantik semula adalah seorang ADUN daripada UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN), Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering), serta dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) iaitu Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) dan Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau).

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan EXCO Perak berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini selain ianya diadakan secara ringkas dan tertutup.

Ia hanya dihadiri Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad; Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Suaidi Abdul Rahim.

Saarani ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Istana Kinta berkata kesemua portfolio EXCO akan diketahui selewat-lewatnya pada Rabu minggu hadapan.

“Kita kena lihat balik kesesuaian individu EXCO tersebut agar selaras dengan perancangan pembangunan kerajaan negeri. Kemungkinan akan ada pindaan ataupun pertambahan portfolio tertentu.

“Jadi saya perlu tempoh masa untuk melihat perkara ini kerana dalam sehari dua ini saya perlu memberi perhatian pada belanjawan negeri,” katanya.

Pada khamis minggu lalu, seramai lima ADUN yang terdiri daripada BN dan BERSATU telah mengangkat Sumpah Jawatan EXCO Perak di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Mereka adalah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang; Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah), serta Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Selain Zainol, kesemua sembilan ADUN merupakan EXCO Perak semasa pentadbiran kerajaan negeri dipimpin Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");