Perak Hari Ini

Lima Lagi Angkat Sumpah EXCO Perak Petang Ini

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk melantik lima lagi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perak pada jam 5 petang ini di Istana Kinta, di sini.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata perlantikan itu perlu dilaksanakan berikutan Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal bersidang esok.

Jelasnya istiadat yang akan berlangsung dihadapan Baginda itu diadakan secara ringkas selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian COVID-19.

“Menteri Besar telah menghadap dan memohon perkenan Tuanku untuk dilangsungkan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan bagi lima lagi EXCO. Ia memandangkan esok DUN bakal bersidang.

“Dalam suasana pandemik COVID-19 ini, Baginda telah memperkenankan agar majlis dapat berlangsung secara ringkas di Istana Kinta ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan lstana Kinta, hari ini.

Ujar beliau lagi, istiadat itu hanya akan disaksikan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad; Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim dan Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Suaidi Abdul Rahim serta tanpa kehadiran media.

Untuk rekod, setakat ini seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri telah dilantik sebagai EXCO pada Khamis minggu lalu.

Mereka adalah ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang; Datuk Shahrul Zaman Yahya (Rungkup), Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (Kampong Gajah), serta Khairul Shahril Mohamed (Bota).

Dalam perkembangan berasingan terdahulu Mohd Annuar berkata Sultan Perak telah memperkenankan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghadap Baginda di Istana Kinta, pagi tadi.

Ahli Parlimen Marang itu tiba kira-kira jam 10.50 pagi sebelum meninggal Istana Kinta sekitar 45 minit.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan memaklumkan Abdul Hadi merakamkan junjung kasih atas keperihatinan dan kebijaksanaan Baginda terhadap kemaslahatan agama, kestabilan politik dan ekonomi, serta kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat jelata.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi telah menghantar surat kepada Pejabat Istana Perak pada Khamis lalu bagi menghadap Sultan Perak untuk memaklumkan kepada Baginda berkenaan situasi politik negeri yang membabitkan PAS.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");