Perak Hari Ini

Malaysia Meterai Perjanjian Hasilkan Ubat HIV

PUTRAJAYA: Pemeteraian perjanjian Malaysia dengan syarikat farmaseutikal global iaitu ViiV Healthcare dan Pool Patent Medicines (MPP) membolehkan negara ini menghasilkan ubat HIV generik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya sangat berpuas hati dengan perjanjian berkenaan yang secara tidak langsung dapat memberikan ubat HIV dalam versi yang diperlukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“(Ubat) ini lebih berkualiti dan berpatutan kepada orang yang hidup dengan HIV atau memerlukan rawatan. Kami berharap persaingan antara pembuat generik yang diaktifkan oleh lesen ini, akan membawa kepada kami ubat-ubatan berkualiti dengan harga yang lebih rendah.

“Bukan mudah untuk tersenarai di bawah MPP dan keputusan ini menandakan kita sebagai tonggak penting. Diharapkan ia akan membuka lebih banyak peluang untuk kita mendapatkan akses yang lebih cepat kepada ubat berkenaan bagi menyelamatkan nyawa,” katanya menerusi Twitter.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada MPP dan semua pihak yang terbabit kerana membuat keputusan yang luar biasa itu menjadi kenyataan.

Sementara itu, Pool Patent Medicines (MPP) dalam kenyataan menyebut perjanjian pelesenan sukarela yang dimeterai Malaysia itu turut membabitkan tiga negara lain iaitu Azerbaijan, Belarus dan Kazakhstan.

Menurut kenyataan itu, ViiV Healthcare dan MPP mengembangkan perjanjian pertama itu selepas pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi oleh negara berkenaan.

“Melalui perjanjian ini, pengeluar generik berpeluang untuk membekalkan rejimen berasaskan dolutegravir (DTG) dengan harga lebih rendah berbanding dengan harga pasaran ketika ini.

“Ia seterusnya memungkinkan akses yang lebih besar kepada ubat-ubatan ini untuk orang yang hidup dengan HIV di setiap negara,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MPP, Charles Gore, berkata misi pihaknya adalah meningkatkan akses ubat-ubatan bagi menyelamatkan nyawa untuk negara yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

“Ini adalah inti daripada misi kami dan kami dapat mencapainya selama 10 tahun terakhir melalui kerjasama yang kuat merangkumi industri , pengeluar generik, kerajaan dan masyarakat awam.

“Perjanjian baru dan pertama dengan ViiV Healthcare ini secara khususnya bertujuan meningkatkan akses di negara-negara berpendapatan menengah atas.

“Ia juga membolehkan orang yang hidup dengan HIV di Azerbaijan, Belarus, Kazakhstan dan Malaysia sekarang akan memiliki lebih banyak akses ke rejimen rawatan DTG yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program HIV dan STI Global di WHO, Dr Meg Doherty, berkata pihaknya mengesyorkan penggunaan DTG sebagai sebahagian daripada rejimen pertama dan kedua untuk orang yang hidup dengan HIV.

“Ia termasuk wanita hamil dan mereka yang berpotensi melahirkan anak. WHO mengalu-alukan lesen ini dan melalui pejabat wilayah dan negara kita sudah bekerjasama dengan pemerintah dan MPP untuk memastikan bahawa perjanjian ini memenuhi keperluan rawatan HIV orang di negara-negara ini,” katanya.

Tambahnya, ViiV Healthcare dan MPP kini akan bekerjasama dengan pemerintah dan pengeluar generik terpilih untuk menyediakan rejimen berasaskan DTG generik secepat mungkin di empat negara.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif, ViiV Healthcare, Deborah Waterhouse, berkata pihaknya memberi 100 peratus komitmen dalam misi berkenaan untuk tidak meninggalkan individu yang hidup dengan HIV.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");