Perak Hari Ini

PAS Anggotai EXCO Perak? Senarai Akan Dikaji Semula – Saarani

IPOH –  Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertimbangkan senarai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lalu termasuk dari PAS bagi mengisi kekosongan lima lagi barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Walau bagaimanapun jelas beliau beberapa portfolio berkemungkinan menyaksikan perubahan bagi tujuan penambahbaikan gerak kerja.

“Untuk cadangan mengekalkan EXCO sebelum ini kita akan mengkaji semula. Berdasarkan sembilan bulan lalu, sudah tentu kita akan ada buat kesesuaian.

“Mungkin akan ada pengubahsuaian portfolio-portfolio yang dipegang sebelum ini. Ia bertujuan untuk memperbaiki sekiranya ada apa-apa kelemahan selama sembilan bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat ringkas di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Semalam, lima ADUN telah mengangkat sumpah jawatan EXCO  di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Istana Iskandariah dekat Kuala Kangsar.

Mereka terdiri daripada empat ADUN UMNO dan seorang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), namun tiada wakil ADUN PAS  dilantik seperti sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria kemudian dilaporkan berkata beliau yakin Menteri Besar tidak akan meninggalkan PAS berhubung soal pelantikan EXCO.

Dalam pada itu, ketika ditanya lanjut pemberita berkenaan lima lagi kekosongan kerusi EXCO Saarani enggan mendedahkan siapa ADUN yang dipersembahkan kepada Sultan Perak.

“Senarai portfolio akan dipenuhkan selepas semua 10 EXCO akan dilantik.  Sebagai Menteri Besar, saya hanya boleh mencadangkan nama namun, terpulang kepada Tuanku Sultan untuk memperkenan dan melantiknya,” jelas beliau.

Terdahulu katanya pada Isnin depan akan diadakan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pertama selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Ke-15 semalam.

Ujarnya ia disusuli dengan pertemuan 59 ADUN di sebuah hotel  di sini bagi diadakan sesi taklimat pra-pembentangan Belanjawan Perak 2021 yang akan dibentangkan pada Rabu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");