Perak Hari Ini

Perak Peruntukan RM83.9 juta Untuk Pembangunan Sosial Dan Kebajikan

IPOH – Bantuan Kad Perak Prihatin akan diteruskan kerajaan negeri pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM25.2 juta yang akan melibatkan kira-kira 20,000 penerima.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, program kotak makanan juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM4.0 juta.

Katanya ia sebahagian daripada peruntukan RM83.9 juta untuk pembangunan sosial dan kebajikan rakyat di negeri ini.

“Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri menyediakan peruntukan mengurus RM39.6 juta.

“Sebahagian besar daripada jumlah tersebut iaitu RM33.9 juta merupakan pecahan Bantuan Am yang berjumlah RM30.9 juta, RM1.5 juta untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), RM1.0 juta untuk Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan RM0.5 juta untuk bantuan kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sementara itu katanya, sebanyak RM0.5 juta diperuntukkan bagi program Community Feeding yang mana pada tahun hadapan program itu tidak terhad kepada anak-anak masyarakat Orang Asli sahaja.

Jelas beliau program itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah nutrisi termasuk kebantutan dalam kalangan kanak-kanak.

“Program ini telah dilaksanakan di Kampung Sungai Tisong dan Kampung Sungai Jentong di Daerah Batang Padang, Kampung Redang Punggor di Daerah Hilir Perak, Kampung Pos Slim di Daerah Kinta dan Kampung Estet Chenderong Kelubi di Daerah Perak Tengah,” katanya.

Pada masa sama, Saarani berkata kerajaan negeri akan memperuntukkan pertambahan RM1.0 juta yang menjadikan RM4.0 juta terhadap Bantuan Khairat Kematian.

“Bantuan RM500 akan diberikan kepada waris yang antaranya penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Isi Rumah berdaftar dengan e-kasih dan Ketua Isi Rumah Orang Asli,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");