Perak Hari Ini

Perak Peruntukkan RM290.4 Juta Naik Taraf Prasarana

IPOH – Kerajaan Perak memperuntukkan sebanyak RM290.4 juta kepada jabatan-jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menambah baik kemudahan prasarana di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata sebanyak RM169.8 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan RM113.3 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi pelbagai projek merangkumi projek kecil bangunan dan pembaikan.

“Komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana yang baik kepada rakyat dapat dilihat apabila peruntukan kepada JKR meningkat sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun 2020,” katanya.

Tambahnya selain daripada projek sambungan dalam proses pembinaan,  sebanyak lima projek pembangunan prasarana  baharu akan dimulakan pada tahun hadapan.

Antara projek tersebut adalah pembinaan jalan alternatif Pekan Ayer Tawar di Manjung serta  pembinaan jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Sungai Dulang sepanjang 8 km di Bagan Datuk.

Turut akan dijalankan pembinaan persimpangan jalan baharu dari perkampungan Felda Sungai Klah ke Kolam Air Panas Sungkai, di Batang Padang; Projek menggantikan dan melebarkan jambatan uzur di Enggor, Kuala Kangsar.

“Selain itu projek yang turut akan dijalankan tahun hadapan adalah pembinaan Balai Cerap di Segari yang akan menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan ilmu falak di samping menjadi pusat tarikan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menyentuh tentang JPS, Saarani berkata daripada RM113.3 juta, sebanyak RM8.5 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir  di Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Hilir Perak serta Kinta.

“RM5.9 juta untuk Rancangan Pengurusan Sungai dan Pantai, RM1.0 juta untuk pemuliharaan Sungai Kinta dan Saliran Pertanian RM0.6 juta,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Saarani berkata buat pertama kali Perak memperuntukkan RM2.0 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan seperti kerja siasatan tanah, ukur tanah dan penyediaan dokumen tender.

“Antara projek fizikal yang telah diperakukan untuk menerima peruntukan ini adalah pembangunan Jeti Sungai Pinang Kecil, Pangkor sebagai Pusat Koordinasi; projek pembinaan pejabat Kerajaan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Kompleks Jabatan Pertanian Negeri, Mahkamah Syariah Teluk Intan serta Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak; serta naik taraf Kompleks Muzium Diraja Kuala Kangsar,” tambah beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");