Perak Hari Ini

Perak Umum Peruntukan RM 200,000 Kepada 59 ADUN

IPOH –  Kerajaan Perak mengumumkan peruntukan sebanyak RM 200,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membabitkan jumlah dana keseluruhan RM 11.8 juta.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, peruntukan itu selari dengan titah hasrat Sultan Perak Sultan, Nazrin Muizzuddin Shah yang prihatin untuk meringankan beban rakyat.

“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar telah menitahkan supaya kerajaan negeri merintis jalan bagi mengurangkan ketegangan dan perbalahan politik.

“Kerana ia hanya akan memangsakan kehidupan rakyat. Sesungguhnya, keprihatinan Paduka Seri Tuanku terhadap untung nasib rakyat, menjadi ibrah dan panduan kepada saya serta seluruh lapisan pentadbiran.

“Ia untuk memastikan kerajaan hari ini sentiasa menegakkan prinsip keadilan, membina kerukunan serta berusaha sedaya mungkin memenuhi keperluan ekonomi dan sosial rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2020 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Selain itu Saarani berkata, kerajaan juga bersetuju agar semua ADUN dijemput hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. 

Beliau berharap dengan ketetapan itu semua ADUN dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Saarani berkata, belanjawan ini adalah belanjawan ‘kita’ yang bermaksud seluruh rakyat di Perak.

“Di kalangan kita pastinya wujud kepelbagaian citarasa. Dalam kepelbagaian itu, marilah sama-sama kita canai suatu bentuk kebersamaan hasrat, iaitu hasrat untuk memacu warga dan negeri tercinta ini ke mercu kejayaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");