Berita Hari Ini

Remaja campak bayi dari tingkat 13 pangsapuri dipenjara sementara tunggu perbicaraan

Seorang remaja yang dituduh mencampak bayi yang baru dilahirkannya dari tingkat 13 sebuah pangsapuri dihantar ke penjara sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan membunuh.

Majistret Jamiliah Abd Manap mengeluarkan arahan itu susulan pemindahan kes M Santhiea, 18 tahun, ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Jamiliah berkata ikat jamin untuk remaja itu berakhir sejurus kesnya ditetapkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Santhiea, Meharaj Selvarajoo, meminta anak guamnya dibenarkan terus bebas dengan ikat jamin sehingga kes itu dibicarakan.

Beliau berkata kes itu belum didaftarkan di Mahkamah Tinggi.

Meharaj berkata Santhiea tidak harus dipenjarakan kerana menjalani rawatan psikiatri dan ortopedik di Hospital Pulau Pinang.

Beliau juga berkata penularan Covid-19 dalam penjara juga mendedahkan anak guamnya kepada risiko jangkitan virus itu.

Timbalan pendakwa raya Yazid Mustaqim Roslan, berkata arahan untuk tertuduh di penjarakan sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan membunuh adalah selaras dengan undang-undang.

Di luar mahkamah, Meharaj berkata Santhiea akan dihantar ke pusat pemulihan akhlak di Perlis semasa menunggu tarikh perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.

Santhiea berdepan pertuduhan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan dengan mencampaknya keluar dari Pangsapuri Sri Ivory, Bandar Baru Air Itam, 10 Julai, lalu.

Beliau boleh dikenakan hukuman mati sekiranya disabit kesalahan.

Santhiea ditahan di Hospital Pulau Pinang sejak 10 Julai untuk rawatan terhadap kecederaan yang diakibatkan semasa melahirkan anak.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");