Panasnya Hari Ini

RM200,000 Kepada Semua ADUN Perak Cermin Kematangan Politik – DAP

IPOH – Peruntukan sebanyak RM200,000 kepada kesemua 59 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak termasuk pembangkang yang terkandung dalam Belanjawan 2021 negeri hari ini merupakan julung kali diadakan dan mencerminkan kematangan politik di negeri itu, kata DAP Perak.

Pengerusinya Nga Kor Ming berkata perkara itu merupakan satu daripada beberapa kata sepakat yang dicapai di antara  Pakatan Harapan (PH) dan Menteri Besar yang baharu Datuk Saarani Mohamad dalam satu perbincangan baru-baru ini.

“Semua perkara penting yang dipersetujui sebagai kata sepakat merupakan sejarah baharu dan menunjukkan kematangan politik daripada pihak PH bersama menteri besar yang baru dilantik.

“Ini merupakan pertama kali dalam sejarah negara kesemua 59 ADUN Perak diberi peruntukan sebanyak RM200,000 setahun demi memberi khidmat terbaik kepada pengundi kita dan menunjukkan kematangan politik demi kesejahteraan rakyat,” katanya pada sidang media di pejabat DAP Perak di sini, hari ini.

Selain peruntukan itu, Saarani ketika membentangkan belanjawan tersebut turut mengumumkan kerajaan negeri bersetuju supaya semua ADUN dijemput dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah, Jawatankuasa Bertindak Khas Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

-Selain itu, Nga berkata hasil perbincangan dengan Saarani juga, kerajaan negeri bersetuju meminda Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan pengiktirafan kepada jawatan ketua pembangkang untuk menikmati gaji, elaun, emolumen serta kemudahan yang munasabah supaya dapat memainkan peranan semak dan imbang secara efektif.

“Kerajaan negeri juga bersetuju meminda Perintah Tetap DUN supaya pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) dilantik oleh pembangkang demi memelihara keharmonian rakyat yang berpegang kepada pelbagai kepercayaan dan agama.

“Peruntukan untuk hal ehwal Islam dan hal ehwal bukan Islam juga dikekalkan dalam Belanjawan 2021 Negeri Perak dan sekiranya ada keperluan, peruntukan ini boleh ditambah kelak,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengekalkan peruntukan bagi sekolah jenis kebangsaan (sjk) Cina, sjk Tamil, sekolah persendirian Cina dan sekolah mubaligh serta aliran sekolah yang lain. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");