Perak Hari Ini

Saarani Menteri Besar Perak Baharu

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memberi perkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak Ke-14.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kol (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor menerusi satu kenyataan yang dibacakan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini di Istana Kinta, di sini, hari ini.

“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berpandukan Perkara 16, Fasa 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, pada pertimbangan Baginda, Yang Berhormat Datuk Saarani Mohamad, ADUN Kota Tampan, boleh dapat kepercayaan sebahagian besar daripada ahli-ahli Dewan Negeri untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak,” katanya

Justeru ujarnya Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-14 akan berlangsung di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 11 pagi esok.

Dalam pada itu dilaporkan Saarani dijadualkan untuk mengadakan sidang media pertama sebagai Menteri Besar Perak baharu di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.

Saarani, 59, Pengerusi UMNO Perak pernah menjawat beberapa jawatan Exco Kerajaan Negeri sejak 2006 sehingga 2018, selepas Barisan Nasional (BN) tumbang di Perak pada Pilihanraya Umum ke-14

Selepas pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak pada Mei lalu, beliau turut mengisi jawatan Exco Kanan ketika Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi Menteri Besar Perak ke-13.

Pada Jumaat lalu, pengundian usul ‘Undi Percaya’ terhadap kepemimpinan Ahmad Faizal yang dikemukakan ADUN daripada UMNO, hanya meraih 10 sokongan, berbanding 48 yang menolak, mana kala satu undi rosak.

ADUN daripada UMNO yang mencadang serta menyokong pembentangan usul terbabit dalam DUN Perak, turut mengundi menolak usul berkenaan.

Keputusan undian itu menyebabkan sidang DUN Perak ditangguhkan, dan Ahmad Faizal kemudiannya meletakkan jawatan.

DUN Perak terdiri daripada UMNO yang mempunyai 25 kerusi, Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada AMANAH, PKR dan DAP turut menguasai 24 kerusi, manakala BERSATU (5), PAS (3) masing-masing satu kerusi oleh GERAKAN dan Bebas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");