Membawang Hari Ini

Saya Minta Maaf, Terlepas Cakap – Cliff Umar

KUALA LUMPUR: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Itulah situasi dialami juara Gegar Vaganza musim ketujuh (GF7), Cliff Umar, 37, apabila dia ‘terlepas cakap’ berhubung pemakaian pelitup muka yang dikatakan merimaskan, pada malam akhir program realiti itu berlangsung malam kelmarin.

BH Online melaporkan kenyataan vokalis kumpulan Projek Pistol itu mengundang kemarahan netizen kerana dianggap tidak sensitif dan mengguris hati banyak pihak. 

Malah, ayat yang dianggap ‘celupar’ itu didakwa sebagai memperlekehkan pengorbanan petugas barisan hadapan yang diketahui sentiasa mengenakan pelitup muka dan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) demi keselamatan, sekali gus memastikan jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.

Apabila kenyataan sebegitu dilafazkan di hadapan penonton secara terbuka, momen manis kemenangan Cliff secara tidak langsung tercalar gara-gara keterlanjuran lisannya itu. 

Mengulas perkara itu, Cliff berkata, dia tidak berniat mahu memperlekehkan pemakaian pelitup muka yang kini menjadi amalan norma baharu dalam masyarakat hari ini.

Enggan membiarkan kontroversi terus berlarutan, pemilik nama lengkap Abdullah Umar Joseph Abdullah memohon maaf secara terbuka kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan dikeluarkannya, sekali gus menafikan tanggapan dirinya memandang enteng soal prosedur operasi standard (SOP) seperti diperdebatkan dalam laman sosial.

“Saya minta maaf, terlepas cakap. Saya tak bermaksud mengguris hati sesiapa termasuk petugas barisan hadapan. Apa yang dimaksudkan dengan merimaskan itu ialah apabila bercakap dengan memakai pelitup muka, permukaannya jadi berkuap dan ia menyukarkan saya memberikan ucapan kemenangan.

“Sekali lagi saya minta maaf. Saya tiada niat langsung untuk buat orang terasa,” katanya pada sidang media sejurus selepas konsert akhir GV7 yang dipancarkan secara langsung dari Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya berakhir.

Sebagai juara, Cliff berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian dan sebuah trofi. Pada malam kemuncak itu, penyanyi Muss dinobatkan sebagai naib juara, manakala Ayu Damit mengungguli tempat ketiga.

Peserta yang mendapat jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris dan Linda Nanuwil berpuas hati pada kedudukan keempat dan kelima, manakala Oja dan Ashira memenangi tempat keenam dan ketujuh.

Cliff berkata, dia terlepas cakap berikutan terlalu terkejut apabila nama diumumkan juara kerana tidak pernah terlintas di fikirannya meraih kejayaan itu.

“Saya tak sangka langsung akan menang. Justeru, saya terkejut dan terkeluar kenyataan tidak sepatutnya diungkapkan apabila nama diumumkan sebagai juara.

“Tidak dinafikan, karakter saya yang pernah melalui pelbagai episod pahit dalam kehidupan menyebabkan saya sedikit emosi dan gagal mengawal diri dalam mengeluarkan kata-kata.

“Kebiasaannya, saya akan berfikir terlebih dulu sebelum bercakap. Mungkin saya terlalu teruja menyebabkan terlepas cakap,” katanya kepada BH Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");