Perak Hari Ini

Sokong Undi Percaya Terhadap MB Perak – Pemuda PAS Negeri

IPOH – Pemuda PAS Perak berpendirian menyokong usul undi percaya kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akan dibentangkan dan dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula esok.

Ketuanya, Ahmad Faisal Mohd Puait berkata dengan usul tersebut ianya membuktikan semangat setia kawan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO serta PAS.

Malah tegasnya melalui usul undi percaya itu juga dapat menafikan ‘suara sumbang’ yang mendakwa bahawa ahli politik dalam kalangan Melayu dan Islam tidak mampu bersama dan sering bergaduh.

“Ruang ini akan membuktikan peranan dan kuasa undi setiap satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyatakan pendirian masing-masing.

“ADUN yang ikhlas dan kasihankan rakyat pasti akan mengutamakan agenda rakyat dan bukannya peribadi serta kepentingan parti.

“Pemimpin dan rakyat Perak semuanya mengerti bahawa dalam keadaan COVID-19 yang semakin meningkat tinggi di negeri ini, kita masing-masing memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh untuk menangani wabak ini.

“Pemuda PAS Perak yakin langkah yang diambil oleh UMNO itu adalah usaha bagi membuktikan kepada rakyat dan seluruhnya bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak adalah kerajaan yang stabil dan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faisal berkata beliau menyifatkan tindakan mengemukakan usul tersebut adalah sebagai tindakan berani selain dapat membuka ruang kepada semua ADUN untuk membuat pengundian secara ikhlas dalam menyokong kerajaan PN.

“Harapan Pemuda PAS Perak, adalah agar kesatuan ummah dapat dimulakan oleh parti dominan Melayu-Islam dan seterusnya meluas kepada warganegara yang cintakan perdamaian dan tidak ekstrem dalam memacukan kesejahteraan negara berpandukan Islam Memperkukuh Perpaduan,” katanya lagi.

Sebelum ini ADUN Pengkalan Baharu dari UMNO, Datuk Abd Manaf Hashim dilaporkan telah mengemukakan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang daripada BERSATU bahawa mempunyai keyakinan majoriti Ahli Yang Berhormat DUN.

Pada Isnin baru-baru ini, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata usul persendirian itu diterima kerana menepati syarat-syarat Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");