Berita Hari Ini

Sokongan Belanjawan 2021 bukti PN utamakan kebajikan rakyat – PM

KUALA LUMPUR – Sokongan padu kepada Belanjawan 2021 yang diluluskan hari ini membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata ia juga bukti Ahli Parlimen yang menyokongnya menyedari dan menginsafi bahawa belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang.

Katanya, keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik COVID-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat, seluruh lapisan masyarakat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik.

“Pendirian Ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan diluluskan tanpa gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19.

“Saya harap ahli-ahli Parlimen dapat terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.

Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehingga kepada bacaan kali ketiga.

“Saya ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong Rang Undang-Undang (RUU) ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi.

“Sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang bekerja keras menyediakan Belanjawan 2021 ini dari peringkat awal sehingga diluluskan hari ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh rakyat yang dengan ikhlas mendoakan agar Belanjawan 2021 ini diluluskan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan di Dewan Rakyat petang tadi selepas bacaan kali ketiga, diputuskan menerusi undi belah bahagian, menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Dengan itu, rancangan kumpulan tertentu untuk menolak RUU itu sekali gus mungkin membuka jalan kepada runtuhnya kerajaan PN pimpinan Muhyiddin tidak berjaya.

Keputusan undian RUU itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");