Berita Hari Ini

Sudah empat kali diserbu, premis judi tak serik

Sudah empat kali tindakan penguatkuasaan diambil termasuk bekalan elektrik dipotong, namun ia tidak sedikit pun menimbulkan rasa gentar kepada pengusaha operasi judi haram secara dalam talian di Bandar Sunway.

Sebaliknya, pengusaha ini seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila beroperasi semula dan melakukan penyambungan elektrik secara haram.

Untuk mengelak kegiatannya dihidu, pengusaha pusat judi ini menukar operasi dengan memilih bilik tingkat satu bangunan rumah kedai sebagai markas baharu.

Dengan memasang lampu agak malap, operasi judi haram ini cuba mengelak operasinya ‘dihidu’.

Namun taktik basi itu berjaya dihidu polis apabila tiga premis yang terletak di Taman Subang Mas, PJS7/18 dan Bandar Sunway itu berjaya diserbu dalam operasi Op Dadu Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, seramai 13 orang warga tempatan termasuk tiga penjaga premis ditahan ketika leka ‘melayan’ judi dalam talian.

Katanya, serbuan dibuat serentak sekitar jam 8.30 malam dan siasatan mendapati premis berkenaan diambil tindakan sebelum ini sebanyak dua hingga empat kali kerana terus beroperasi dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyrat (PKPB).

“Kesemua individu yang ditahan berusia 30 hingga 44 tahun ketika leka bermain judi dalam talian.

“Siasatan dapati mereka membuat pertaruhan judi atas talian jenis Rolettte dan Slot dengan hadiah wang tunai Jakpot maksimum RM100,000 ditawarkan untuk menang.

“Mereka beroperasi sejak Oktober lalu walaupun sudah diambil tindakan tegas diserbu beberapa kali.

“Mereka beroperasi beberapa hari dalam seminggu selepas waktu kerja sehingga awal pagi dan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan masuk yang dipantau menerusi Kamera Litar Tertutup yang dipasang di beberapa sudut termasuk di pintu besi tingkat bawah memudahkan mengesan kehadiran polis,” katanya selepas serbuan malam tadi.

Tambah beliau, seramai tujuh pegawai dan 21 anggota telah terlibat dalam serbuan itu dan kesemua individu ditahan dan dibawa ke IPD Subang Jaya untuk tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka dan tindakan kompaun RM1000 di bawah Akta 342 kerana melanggar arahan PKPB.

Ditanya mengenai penyambungan elektrik secara haram itu, Abd Khalid berkata, perkara itu akan dirujuk segera kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan penguatkuasaan lebih tegas.

Beliau meminta orang awam terus membantu polis menyalurkan maklumat mengenai kegiatan sebegini, sehingga pengusaha dikenakan hukuman. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");