Perak Hari Ini

Sultan Perak Nasihat Cari Formula Terbaik Untuk Bentuk Kerajaan Baharu

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar kesemua parti politik dapat mencari formula terbaik bagi menubuhkan kerajaan baharu di negeri ini susulan kemelut politik yang berlaku.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Baginda menasihatkan sedemikian setelah berkenan menerima menghadap tiga pemimpin dari Pakatan Harapan (PH) dan UMNO Negeri.

Katanya, selain menyembah maklum pandangan, keempat-empat pemimpin parti itu turut menyatakan pendirian yang dipegang serta usaha dilakukan ketika ini bagi membentuk kerajaan yang cukup majoriti.

“Atas permintaan mereka, Tuanku memberi perkenan menghadap, mereka menyembahkan pandangan mereka tentang keadaan semasa dan pendirian parti dalam suasana politik di Perak sekarang.

“Segala pandangan itu didengari, tetapi bukanlah tanggungjawab Baginda campur tangan dalam urusan masing-masing.

“Sultan hanya boleh menasihatkan dan carilah formula terbaik untuk menubuhkan kerajaan dan pimpinan baru di negeri Perak,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Kinta di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, bahawa Sultan Nazrin turut berkenan menerima menghadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Kinta, esok pada jam 10 pagi.

“Kita difahamkan mereka (UMNO) masih dalam perundingan dan malam ini juga dimaklumkan UMNO akan adakan mesyuarat khas parti,” katanya.

Terdahulu, tiga pengerusi parti gabungan dalam PH Perak tiba di pekarangan Istana Kinta untuk menghadap sembah Sultan Nazrin berhubung kemelut politik di negeri ini susulan kegagalan usul undi percaya terhadap Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Mereka adalah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi Amanah, Datuk Asmuni Awi.

Pertemuan berlangsung selama hampir satu jam dan selang beberapa minit kemudian, Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad tiba untuk menghadap sebelum keluar selepas 20 minit kemudian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");