Perak Hari Ini

Sultan Perak Perkenan Perletakan Jawatan Ahmad Faizal

IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan perletakan jawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kepada Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, berkata permohonan perletakan jawatan Menteri Besar bersama Ahli Majlis Mesyurat Kerajaan Negeri dipersembahkan kepada Baginda melalui satu surat bertarikh 5 Disember.

“Baginda menzahirkan titah terima kasih kepada Ahmad Faizal yang telah melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, setelah mendapat perkenan Baginda dua kali mengangkat sumpah jawatan, kali pertama pada 12 Mei 2018, dan kali kedua pada 13 Mac 2020.

“Baginda turut menzahirkan titah terima kasih kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak atas perkhidmatan yang telah diberikan dalam tempoh perkhidmatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu beliau turut mengesahkan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Chenderiang itu telah menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, di sini pada jam 3.00 petang semalam.

“Susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya semasa berlangsungnya Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri yang bersidang pada 4 Disember, Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Faizal menyembahkan watikah memaklumkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak terjejas secara langsung.

“Ia berdasarkan peruntukan Fasal (1) Perkara XII, dan perenggan (a) Fasal (2) perkara XVI (6), Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan,” jelas beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");