Berita Hari Ini
Like

Syarikat Pembekal Daging, Dua Pengarah Didakwa Guna Logo Halal Tidak Diperakui

December 30, 2020
16 Views
0 Comments
2 minutes read
Syarikat Pembekal Daging, Dua Pengarah Didakwa Guna Logo Halal Tidak Diperakui

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pembekal daging dan dua pengarah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan logo halal tanpa diperakui oleh pihak berkuasa pada awal bulan ini.

Kosmo Online melaporkan tertuduh, Rahman Sheik Abdullah, 44, dan isterinya, Raihanah Kasim, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat Raihanah Cold Storage Sdn. Bhd. didakwa telah memperakui perkhidmatan berhubung makanan halal itu dengan menggunakan logo halal tanpa diperakui oleh pihak berkuasa berwibawa pada sebuah lori Isuzu.

Syarikat berkenaan dituduh melakukan perbuatan itu di premis perniagaannya terletak di Taman Perniagaan Setia di sini pada pukul 1 petang, 1 Disember lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (A) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat itu boleh didenda maksimum RM200,000 dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM500,000.

Bagi pertuduhan kedua, Rahman dan Raihanah selaku pengarah syarikat Raihanah Enterprise didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah lori model Mitsubishi di lokasi dan waktu yang sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8 (B) perintah yang sama dan dibaca bersama Sesyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya, didenda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, T. Ashivinii memohon mahkamah mengenakan jaminan tinggi dan RM50,000 kerana kes logo halal itu mendapat liputan meluas media di samping dibincangkan di Parlimen.

Namun kedua-dua peguam mewakili pengarah berkenaan, Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan syarikat itu masih beroperasi dan mempunyai 20 pekerja.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan suami isteri itu diikat jamin masing-masing sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 19 Januari ini.

Comments are closed.