Berita Hari Ini

Tabung Haji Tambah Pelaburan, Beli Menara RM147 Juta

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menandatangani tawaran pembelian Menara VSQ 1 daripada Bukit Damansara Development Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) dengan harga RM147 juta.

Memetik Sinar Harian, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, pelaburan terbaharu itu dijangka memberikan pulangan sebanyak 5.5 peratus berdasarkan perjanjian penghunian penuh dan penyewaan jangka panjang bangunan itu.

Katanya, pembelian tersebut merupakan antara pelan strategik yang dilaksanakan bagi meningkatkan kedudukan kewangan TH dan melibatkan perjanjian sewa bersama QSR Brands bagi tempoh sembilan tahun.

“Sebagai pemegang amanah para pendeposit, TH akan terus mencari peluang di dalam membuat pelaburan baharu secara langsung atau tidak langsung bagi menambah portfolio hartanah yang dapat memberikan pendapatan berulang dan stabil, sekali gus memberi pulangan yang mampan kepada 9 juta pendeposit TH,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1 antara TH dan Bukit Damansara Development Sdn Bhd di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Presiden Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengerusi TH, Tan Sri Md Noor Md Yusof dan Pengarah Eksekutif Pelaburan TH, Hizamuddin Jamaluddin.

Perjanjian antara kedua pihak itu ditandatangani oleh Hizamuddin dan Pengarah Eksekutif Pelaburan sementara Bukit Damansara Development Sdn Bhd, Hazman Hilmi Sallahuddin dengan disaksikan oleh Zulkifli.

Menara pejabat 20 tingkat yang terletak di Petaling Jaya, Selangor itu merupakan bangunan ruang pejabat yang bakal menempatkan ibu pejabat QSR Brands yang merupakan pengendali rangkaian restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia.

Sementara itu Zulkifli berkata, beliau yakin perjanjian antara TH dan syarikat milik Jcorp itu akan dapat meningkatkan prestasi TH dalam perniagaannya terutama dalam pemilikan aset-aset yang strategik.

“Hari ini merupakan suatu penyaksian bersejarah buat TH apabila membeli satu bangunan yang bagi saya cukup strategik dengan prasarananya di samping mereka yang sudah ada pelanggan dan menyewa di sini.

“Dalam hal ini kita yakin dan percaya ia dapat meningkatkan prestasi TH dalam perniagaannya dan dalam pemilikan aset strategik untuk menawarkan keuntungan,” kata beliau.

Sementara itu, Hizamuddin berkata, kedudukan kewangan TH ketika ini berada dalam situasi yang meyakinkan.

“Deposit kita sekarang ini adalah RM75.6 bilion iaitu antara tertinggi dalam sejarah. Kita berada dalam trajektori yang betul.

“Cuma situasi Covid-19 ini memberikan banyak cabaran daripada segi pelaburan. Tetapi kita akan cuba yang terbaik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");