Berita Hari Ini

Top Glove ikrar tambah baik asrama pekerja

Top Glove Corporation Bhd berjanji akan menambah baik persekitaran tempat tinggal pekerjanya sebelum akhir tahun ini selaras yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kerajaan memberikan tarikh akhir hujung tahun ini sebelum menghukum majikan yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 (Akta 446).

Dalam satu kenyataan malam ini, Top Glovemenguraikan usahanya dalam mencapai tujuan berkenaan.

“Berkenaan dengan pengumuman berita oleh Kementerian Sumber Manusia, yang berkaitan dengan undang-undang tersebut, kami ingin memberitahu bahawa Top Glove akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berwajib mengenai hal tersebut.

“Kami ingin menjelaskan bahawa usaha mencari lebih banyak tempat tinggal dan memperbaiki tempat tinggal pekerja yang ada sedang berjalan, memandangkan jumla besar pekerja yang kami gunakan,” kata Top Glove.

“Kami berharap dapat menyelesaikan usaha memperbaiki tempat tinggal pekerja sebelum 31 Disember,” tambah Top Glove.

Top Glove merujuk kepada laporan yang memetik Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang mengatakan bahawa kerajaan akan menggunakan pendekatan mendidik terhadap majikan di berbagai sektor hingga akhir tahun ini sehingga mereka dapat mematuhi akta berkenaan.

Kenyataan Top Glove hadir setelah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dilaporkan membuka 19 kertas siasatan terhadap syarikat pengeluar sarung tangan getah itu kerana didakwa tidak mematuhi akta tersebut.

Di bawah akta tersebut, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 untuk setiap kesalahan.

Menteri itu dilaporkan mengatakan bahawa majikan yang didapati bersalah tidak akan dikenakan denda dalam tempoh ini juga kerana penguatkuasaan undang-undang tersebut masih dalam tahap awal.

Top Glove menegaskan usahanya dalam memperbaiki persekitaran tempat tinggal pekerjanya termasuklah melalui pembelian 100 unit pangsapuri, bernilai RM20 juta dalam dua bulan terakhir.

Syarikat itu juga membeli 100 unit rumah dan asrama dua tingkat dengan kemudahan lengkap termasuk kantin di rumah, ATM, kedai gunting rambut, dan minimart, bernilai keseluruhan RM50 juta.

“Tenaga kerja kami adalah aset terbesar syarikat, dan kami komited untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membuat peningkatan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja kami,” kata Top Glove.

Top Glove menjadi tumpuan setelah kira-kira 3,400 pekerjanya di Meru dijangkiti Covid-19. Ia juga menyebabkan tempat tinggal pekerja syarikat itu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

PKPD pada mulanya dikenakan dari 17 hingga 30 Nov, tetapi Majlis Keselamatan Negara telah mengumumkan lanjutan perintah itu hingga 14 Disember.

Jabatan Tenaga Kerja sebelum ini menyatakan tidak berpuas hati dengan keadaan hidup pekerja Top Glove di lima negeri, iaitu Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, dan Johor.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");