Berita Hari Ini

Vaksin COVID-19: Pendakwah Selebriti Perlu Senada Mengenai Hukum – Zulkifli

SEPANG – Semua pihak termasuk pendakwah selebriti perlu senada mengenai hukum penggunaan vaksin COVID-19 iaitu harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Bernama melaporkan beliau berkata ketetapan hukum penggunaan vaksin COVID-19 itu dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Dis lepas, dan mengambil pandangan semua pihak termasuk para ulama serta badan berautoriti.

“Kita mahu semua senada (penggunaan vaksin) sebab pandangan ini bukan pandangan saya tetapi para ulama bukan semata di Malaysia… rujukan dibuat untuk ummah seluruhnya dan negara-negara Arab bersetuju kaedah ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 80 pendakwah selebriti di sini, hari ini. 

Ketika berucap pada majlis itu, Zulkifli  meminta pendakwah selebriti yang  mempunyai syor atau cadangan yang baik mengenai apa jua perkara termasuk penggunaan vaksin supaya mengemukakannya secara berhemah.

“Dalam mendepani isu COVID-19, satu sahaja permintaan khusus saya buat sahabat-sahabat iaitu marilah  kita bersatu fikrah. Elakkan berkhilaf sesama kita kerana kita ada maslahah yang besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini.

Jika ada syor atau cadangan baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial,” katanya. 

Semalam, Zulkifli berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Dis lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak, katanya. 

Mengenai pertemuan dengan pendakwah selebriti, Zulkifli mengingatkan mereka untuk sentiasa memelihara imej serta maruah diri dan mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi. 

“Kita harap ada sinar pada tahun 2021… kita tidak dengar lagi sebarang isu konflik (melibatkan pendakwah selebriti),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");