Berita Hari Ini

Vaksin: Dakwaan Kit Siang Kerajaan Berbelanja Besar Tak Berasas – Khairy

KUALA LUMPUR: Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pembekalan vaksin yang dinaikkan kepada 80 peratus dengan peruntukan RM2.05 bilion menepis tuduhan tidak berasas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang kononnya kerajaan berbelanja lebih besar, berbanding negara lain.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dalam ciapan di Twitter hari ini menyangkal kenyataan itu dan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri cukup jelas untuk membidas dakwaan Kit Siang.

“Berdasarkan pengumuman ini, saya harap ia cukup jelas untuk memperbetul salah faham disebarkan oleh Kit Siang yang mendakwa kerajaan memperuntuk RM3 bilion hanya untuk rundingan vaksin dengan Pfizer yang cuma melindungi 20 peratus rakyat di negara ini,” katanya.

Semalam, Khairy menyangkal kenyataan Kit Siang berhubung perbandingan kos vaksin Pfizer yang perlu dibayar Malaysia dengan pendedahan Belgium bahawa harga vaksin berkenaan 20 kali ganda lebih murah daripada harga sebenar.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut memperbetul kekeliruan orang awam mengenai peruntukan sebenar pembekalan vaksin COVID-19.

“RM3 bilion jumlah anggaran keseluruhan bagi peruntukan pembelian vaksin COVID-19.

“Bagaimanapun, setakat ini kerajaan hanya membelanjakan sekitar RM2 bilion,” katanya.

Khairy turut berkata, proses penilaian dan kelulusan vaksin termasuk Pfizer mengambil masa agak lama kerana ia tertakluk kepada keputusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan.

“NPRA badan bebas dan perlu terus kekal sebegitu.

“Tanggungjawab saya bagi melaksanakan rundingan pembekalan, tetapi kelulusan tetap di bawah NPRA bagi memastikan keselamatan setiap rakyat Malaysia yang akan menerima vaksin berkenaan,” katanya.

Beliau mengulas rungutan orang ramai berhubung kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa NPRA memerlukan tiga ke empat bulan bagi penilaian dan meluluskan vaksin dari Pfizer.

Orang awam turut membandingkan perkara itu selepas kerajaan Singapura meluluskan pembekalan vaksin ke negara itu pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Malaysia turut melaksanakan rundingan akhir dengan China bagi pembekalan vaksin Sinovac dan CanSino serta Gamaleya atau Sputnik V, keluaran Russia bukan sekadar bertujuan bagi pembelian tetapi melihat kepada potensi lain.

“Ia bukan sekadar pembelian vaksin tetapi merangkumi mengisi dan memastikan kapasiti mencukupi, selain melihat kepada potensi kerjasama bagi kajian dan penyelidikan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");