Panasnya Hari Ini
Like

Azmin Akan Mohon Batal Saman 10 Pengundi Gombak Terhadapnya

January 14, 2021
1242 Views
0 Comments
2 minutes read
Azmin Akan Mohon Batal Saman 10 Pengundi Gombak Terhadapnya

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

Peguam beliau, Nizamuddin Hamid memberitahu Bernama demikian selepas pengurusan kes melalui sistem dalam talian, e-Review hari ini, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maslinda Selamat.

“Kami akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu sebelum tarikh pengurusan kes akan datang yang ditetapkan pada 16 Feb. Ini kerana kami percaya bahawa tiada sebab untuk tindakan yang munasabah, tindakan itu adalah semberono dan menyalah guna proses mahkamah,” katanya dalam pesanan melalui aplikasi Whatsapp, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Nizamuddin berkata semasa pengurusan kes hari ini, beliau juga memaklumkan kepada mahkamah tentang gambaran yang salah oleh peguam plaintif kepada media berhubung penyampaian dokumen dan kegagalannya hadir ke mahkamah selama pengurusan kes lepas.

“Berdasarkan afidavit yang difailkan oleh peguam plaintif dan yang kami lihat, jelas bahawa writ saman atau pernyataan tuntutan tidak disampaikan secara peribadi kepada defendan atau kepada mana-mana orang yang diberi kuasa oleh defendan untuk menerima bagi pihaknya dan mahkamah telah mengambil maklum hal ini, ” katanya.

Kesemua 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu telah memfailkan saman tersebut pada 27 Nov lepas terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lepas. 

Penyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif, berusia lingkungan 36 dan 64 tahun, memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin, selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajipan fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Pengundi itu mendakwa, dengan memungkiri representasi berkenaan, defendan telah melanggar hak perlembagaan terutamanya prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas perlembagaan.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif selain melakukan penipuan terhadap mereka selain menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Komen & Pendapat

Comments are closed.