Berita Hari Ini

Covid-19: Jumlah kes baharu tidak berkurang, doktor minta bantuan tambahan

Komuniti perubatan menggesa penambahbaikan dalam tenaga kerja dan sumber berikutan jumlah kes Covid-19 kekal tinggi walaupun sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Sebanyak 4,094 kes Covid-19 baharu direkodkan semalam – setelah lebih dua minggu PKP terbaru dilaksanakan – menjadikan jumlah kes aktif meningkat kepada 43,192, jauh mengatasi paras maksimum 23,000 yang menurut kerajaan dapat ditangani di hospital awam dan pusat rawatan jangkitan berisiko rendah.

Seorang petugas barisan hadapan berpangkalan di Putrajaya, yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT bahawa doktor terbeban dengan aliran kemasukan pesakit baharu yang berterusan.

“Wujud kekurangan tenaga kerja. Sesuatu perlu dilakukan untuk menggerakkan doktor dan membantu di mana perlu.

“Mungkin audit perlu dilakukan secara berkala, terutamanya di kawasan sibuk dan zon merah, untuk memantau secara konsisten sama ada mereka boleh bertahan,” katanya.

Selain itu, masalah lain yang belum dapat diselesaikan adalah kekurangan peralatan perlindungan.

Kerajaan berusaha menyediakan PPE “tetapi kami semakin kekurangan stok”, kata petugas barisan hadapan tersebut.

“Idea bahawa kami perlu membeli peralatan sendiri sangat menyusahkan, dan ia tidak membantu usaha kami.”

Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, pengerusi Malaysian Medics International, berkata, aduan sebegini menjadi perkara biasa tatkala pelbagai tinjauan menunjukkan bahawa barisan hadapan berdepan tekanan yang sangat besar dan tidak pernah dialami sebelum ini.

Tambahnya, situasi sekarang adalah petanda sistem kesihatan lambat menyesuaikan diri.

Beliau berkata, ‘kelesuan’ disebabkan terlalu banyak bekerja boleh menjejaskan tahap rawatan seorang doktor, selain menambah bahawa tindakan perlu diambil bagi memastikan kebajikan mereka dijaga.

“Sangat mengecewakan apabila masih terdapat doktor dan pekerja kesihatan kontrak yang diberhentikan, walaupun terdapat banyak bukti bahawa sistem kesihatan kini berlebihan kerja tetapi kekurangan tenaga kerja,” katanya.

“Pelaburan dalam penjagaan kesihatan adalah idea yang baik. Sekalipun wabak sudah berakhir, impaknya dan tunggakan kes masih menuntut tenaga kerja yang lebih besar.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");