Berita Hari Ini
Like

FDI Merosot 68% Ekonomi Semakin Tenat, PN Perlu Bertanggungjawab

January 26, 2021
158 Views
0 Comments
3 minutes read
FDI Merosot 68% Ekonomi Semakin Tenat, PN Perlu Bertanggungjawab

1. Kelemahan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negara yang sepatutnya sudah memasuki fasa pemulihan ekonomi dilihat semakin memuncak dengan satu demi satu kegagalan yang akhirnya akan menambah derita rakyat. Kerajaan PN seperti kehilangan punca apabila segala perancangan yang dibentangkan tidak menemui hasil bahkan mengundang kemerosotan prestasi ekonomi negara. 

2. Tambah membimbangkan apabila kerajaan dilihat lebih gemar bermain politik dengan melakukan pelbagai helah sehinggakan hari ini mereka mula bercakaran sesama sendiri.

3. Proklamasi darurat oleh YAB Perdana Menteri semakin menampakkan langkah politik tempang dan jauh sekali kepada usaha untuk memulihkan ekonomi. Lebih janggal apabila orang kanan YAB Perdana Menteri iaitu YB Dato’ Seri Azmin Ali yang menyatakan bahawa pelaksanaan darurat tidak menjejaskan keyakinan pelabur, hanyalah satu kenyataan yang syok sendiri, tersasar dari realiti dan tidak menjawab persoalan terhadap kegagalan usaha PN pemulihan ekonomi negara.

4. Memetik laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) bagi tahun 2020 baru-baru ini, Malaysia adalah negara di ASEAN yang mengalami kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) amat ketara iaitu penurunan sebanyak 68 peratus dengan hanya mampu menarik pelaburan sekitar US$2.5 bilion.

5. Sudah pasti penularan wabak COVID-19 akan menjadi alasan utama yang akan digunakan PN bagi menjustifikasi kemerosotan ketara ini, namun ia masih tidak dapat menafikan kegagalan pentadbiran kerajaan kerana negara ASEAN lain masih mampu mengawal kemerosotan yang terlalu ketara dan malah Filipina menunjukkan prestasi yang baik dengan peningkatan FDI sebanyak 29 peratus pada tahun lepas.

6. Ini memberi isyarat jelas bahawa pelabur sudah hilang keyakinan terhadap Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang mampu menarik minat mereka.

7. Bukan itu sahaja, pelabur sedia ada juga sudah mula mengangkat kaki. Contohnya, Syarikat Hyundai yang beribu pejabat di Malaysia bagi kawasan Asia Pasifik yang turut menempatkan Hyundai Training Academy juga akan berpindah ke Indonesia dan awal sebelum itu turut telah mengesahkan pelaburan bernilai $1.55 billion untuk pasaran Indonesia sehingga 2030.

8. Ini sudah pasti memberi tamparan hebat buat Malaysia yang bercita-cita menjadi sebagai hab automotif serantau Asia Tenggara. Kesan terhadap kegagalan menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelaburan sedia akan menjurus kepada penyusutan peluang pekerjaan serta peningkatan pembuangan pekerja yang semakin membimbangkan.

9. Selanjutnya, merujuk data melalui Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) sahaja telah merekodkan seramai 99,696 orang pekerja diberhentikan sehingga 27 November 2020 walaupun Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) telah dilaksanakan oleh kerajaan. Ini adalah petunjuk jelas bahawa perancangan yang direncana kerajaan gagal memberi penyelesaian mengakar yang mana keadaan sebenarnya kian membarah terutamanya apabila negara berhadapan PKP2.0 dan darurat.

10. Oleh itu, kerajaan perlu segera mengambil sikap bertanggungjawab terhadap kegagalan menguruskan ekonomi yang terbukti dengan penurunan FDI antara yang terburuk dalam sejarah dan tidak sekadar bersembunyi disebalik proklamasi darurat, tatkala rakyat semakin teruk dihimpit dengan krisis kehilangan kerja serta peniagaan mereka yang amat terkesan.
 
AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Komen & Pendapat

Comments are closed.