Berita Hari Ini

Hotel perlu bantuan hayat, kata kumpulan perniagaan, kesatuan

 Lebih banyak hotel dijangka mengambil tindakan drastik bagi mengurangkan kerugian berikutan kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kali kedua, dengan sebuah persatuan hotel berkata, lebih 8,000 ahlinya kini berada dalam keadaan terdesak.

Ini susulan berita kemungkinan penutupan Equatorial, hotel terbesar di Pulau Pinang berdasarkan jumlah bilik dan tindakan pemberhentian kumpulan hotel Shangri-La melalui skim pemberhentian kerja sukarela.

Bercakap kepada FMT, ketua eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, kadar tempahan kebanyakan hotel jatuh ke bawah 20% selepas PKP kedua diumumkan.

Beliau berkata, hotel tidak menjana pendapatan semasa PKP, dan keadaan kelihatan suram untuk beberapa minggu ke hadapan.

“Setelah mengalami kerugian selama hampir setahun, keadaan sekarang adalah lebih buruk.

“Hotel terpaksa membuat keputusan segera. Ia mungkin tidak mampu menunggu keputusan kerajaan sama ada PKP akan dilanjutkan atau sebaliknya. Ketidakjelasan itu menyukarkan perancangan,” katanya.

Beliau berkata, penambahan subsidi upah sangat diperlukan.

Pengerusi MAH Pulau Pinang Raj Kumar berkata, hotel tidak mempunyai pilihan melainkan mengecilkan operasinya dan mencari jalan untuk terus bernafas.

“Kami faham bahawa fokus utama kerajaan ialah keselamatan orang ramai. Kami perlu mengurangkan kerugian.

“Jika keadaan ini berterusan atau menjadi semakin buruk, kami tidak mempunyai alternatif lain, selain tutup,” katanya.

Industri hotel Pulau Pinang yang sebelum ini menguntungkan berdepan prospek gelap kerana pelaksanaan PKP kedua menyebabkan aliran tunainya terhenti, sekali gus memaksa banyak ditutup dan kakitangannya diberikan cuti panjang, kata seorang pengusaha hotel berpengalaman.

“Walaupun kerajaan menawarkan subsidi upah kepada hotel, namun sebahagian hanya memperoleh sebahagian daripadanya, sementara yang lain tidak mendapat apa-apa. Jadi tidak menghairankan jika terdapat hotel yang ditutup,” katanya yang enggan dikenali.

Industri tersebut berkembang pesat sepanjang dua dekad lepas, terutama selepas George Town diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2008.

Bilik di bangunan sebelum perang yang dijadikan hotek butik mendapat sambutan menggalakan daripada pelancong asing.

Hotel empat dan lima bintang tumbuh pesat di kawasan tumpuan seperti Gurney Drive dan batu Ferringhi dengan kadar sewa bilik mencecah lebih RM350 pada masa puncak.

Namun sebulan selepas pelaksanaan PKP pertama Mac tahun lepas, sebilangan daripada hotel ini, termasuk sebuah hotel butik terpaksa ditutup.

Perniagaan persidangan runtuh apabila 20 acara utama dibatalkan.

Laporan kerajaan menunjukkan industri persidangan membawa kesan ekonomi bernilai lebih RM1.5 bilion kepada negeri itu pada 2019.

Namun tanpa kehadiran pelancong santai dan perniagaan, sebahagian besar daripada 279 hotel berdaftar dengan lebih 15,000 bilik di negeri itu kini kehilangan punca.

Setiausaha agung Kesatuan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia Rosli Affandi berkata, lebih 8,000 ahli kesatuan itu kini terhimpit.

Ramai yang belum mendapat gaji mereka dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama tiga hingga empat bulan.

Rayuan bantuan pekerja gaji minimum dalam industri perhotelan tidak mendapat respons balas.

Keadaan diburukkan lagi berikutan langkah hotel mengambil pekerja sambilan warga asing yang dibayar upah mengikut jam, sementara kakitangan tetap dibekukan.

Beliau berkata, walaupun dalam tempoh pelaksanaan PKP pemulihan perniagaan hotel tampak pulih sedikit, terutama di destinasi utama seperti Pulau Pinang, Langkawi, Cameron Highlands dan Melaka, namun ditempat lain keadaan tidak banyak berubah.

Rosli berkata, pekerja hotel kecewa apabila kerajaan tidak memasukkan mereka ke dalam inisiatif latihan semula atau berusaha membantu mereka mencari pekerjaan baharu.

“Ramai pekerja hotel kini dilanda kemiskinan. Mereka membuat hingga tiga kerja sekali gus, menjual kuih dan pelbagai kerja sambilan hanya untuk hidup.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");