Berita Hari Ini

Jangan ‘anak tirikan’ peniaga pasar malam

 Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyeru Putrajaya mengubah dasar pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0, tanpa perlu melonggarkan SOP sedia ada, sekali gus membantu dan menyelamatkan ekonomi peniaga kecil seperti peniaga pasar malam.

Beliau berkata, sepanjang 2020 ketika PKP 1.0 diikuti PKPB dan PKPP, ramai peniaga pasar malam sangat terkesan kerana tidak dapat berniaga, sehingga menyebabkan pendapatan mereka merudum.

“Tahun ini, dengan PKP 2.0 yang belum tentu tamat 4 Feb, mereka merasakan nasib peniaga pasar malam mungkin malang sekali lagi. Ada empat cadangan yang saya rasa kerajaan boleh dan dipertimbangkan.

“Jika pasar pagi atau pasar tani dibenarkan, maka pasar malam juga patut dibenarkan.

“Dalam isu ini, jika isunya adalah peniaga atau pengunjung yang terlalu ramai, SOP pasar malam sewaktu PKPB tahun lalu boleh digunakan. Kurangkan jumlah petak atau tapak, hadkan laluan masuk,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata, peniaga pasar malam antara golongan dijangka “gulung tikar” jika kebenaran berniaga tidak diberikan sepanjang PKP 2.0.

Zamri berkata, rungutan diterima sejak PKP 2.0 dilaksanakan kerana peniaga pasar malam tidak dibenarkan berniaga malah ada antara mereka semakin tersepit.

Fahmi berkata, melihat situasi ketika ini pengusaha pasar malam merasakan mereka “dianaktirikan” oleh Putrajaya. Baginya, jika kerajaan berpandangan pasar malam akan mengakibatkan ramai orang berlegar di luar rumah hingga tengah malam, sebenarnya pengusaha pasar malam bersedia mengubah waktu operasi.

“Sebagai contoh, jika biasanya pasar malam dari 5 petang ke 10 malam, ada pengusaha yang bersedia ubah ke sebelah petang, contohnya dari 2 petang ke 7 malam. Apa yang penting mereka ada peluang berniaga,” katanya.

Katanya, salah satu cara untuk membantu peniaga pasar malam yang memiliki lesen sah dan hilang pendapatan tambahan adalah dengan memasukkan peniaga pasar malam sebagai salah satu kategori dalam Program Subsidi Upah 3.0.

Malah, untuk tempoh ini, katanya, benarkan lesen peniaga itu diperbaharui secara automatik.

“Jika kerajaan tidak bersedia membenarkan pasar malam beroperasi secara fizikal, setidak-tidaknya usahakan ‘pilot project’ e-pasar malam dengan bantuan aplikasi seperti Foodpanda, Grab, Shopee dan sebagainya.

“Ini boleh dilakukan sama ada dengan mewujudkan konsep ‘central kitchen’ (dapur pusat) atau pertimbang semula idea e-bazar Ramadan tahun lalu dengan SOP yang ditambah baik. Beri insentif kepada peniaga dan pengusaha untuk cuba model perniagaan yang berbeza,” katanya.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");