Berita Hari Ini

Kartel Daging: SPRM Rampas Dokumen Syarikat Import Bahan Sejuk Beku Sejak 2015

KUALA LUMPUR – Dokumen-dokumen sebuah syarikat pengimport bahan mentah sejuk beku sejak tahun 2015, yang dipercayai terbabit isu kartel daging dirampas dua minggu lepas, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Beliau berkata SPRM akan mengkaji semua dokumen dan akaun-akaun syarikat yang terlibat, dalam mengesan keseluruhan dalang, termasuk anggota penguatkuasa terlibat melindungi kegiatan ini.

“Siasatan kes ini dibuat di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai penahanan dua pengarah sebuah syarikat dan dua pekerja syarikat, masing-masing disyaki menyeludup bahan mentah sejuk beku, Ahmad Khusairi berkata ia dimport masuk secara haram daripada beberapa negara, yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Tumpuan siasatan SPRM ialah terhadap dua aspek iaitu, pertama berhubung kesalahan mengemukakan pengiystiharan palsu dalam borang Kastam 1 oleh syarikat pengimport dan ejen yang mengendalikan kemasukan bahan mentah sejuk beku ini.

“Aspek kedua ialah meneliti dan mengkaji sebarang bentuk pembayaran rasuah, melalui akaun-akaun syarikat yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata dalam setiap penyiasatan SPRM, elemen kerahsiaan dan kejutan amat penting sekiranya sesuatu kes mendapat pendedahan luas di media massa.

“Ia seolah-olah memberi peluang kepada mereka (perasuah dan pemberi) melupuskan semua bukti serta keterangan yang ada.

“Tindakan berdiam diri bukan bermaksud agensi-agensi yang terlibat dalam penyiasatan kes ini tidak mengambil tindakan, sebaliknya pengumpulan bukti dan keterangan memerlukan masa dan penganalisaan yang teliti,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata jika SPRM terlalu membincangkan isu ini dalam media, maka ia akan merumitkan penyiasatan dan memberikan persepsi negatif masyarakat.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan semalam oleh SPRM Johor telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada pagi tadi, untuk proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Hari ini, Bernama melaporkan SPRM Johor menahan empat individu iaitu pengarah dan pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku, kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung isu kegiatan penyeludupan bahan mentah itu dari negara yang dilarang dibawa masuk ke Malaysia.

Kesemua mereka berusia 39 hingga 50 tahun itu, ditahan di pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");