Berita Hari Ini

Keluarga positif Covid-19 buntu diabai KKM selepas 6 hari

Jumlah kes Covid-19 yang mencecah empat angka setiap hari menyebabkan ramai rakyat yang disahkan positif terpaksa menunggu berhari-hari untuk Kementerian Kesihatan (KKM) menghubungi mereka.

Seorang penjawat awam yang tidak mahu dinamakan, bimbang dengan penantian lama itu kerana lebih separuh ahli keluarga disahkan positif setakat ini.

“Bos saya mengambil inisiatif untuk saya menjalani ujian swab selepas pasangan saya disahkan positif. Selepas saya didapati positif, bos saya mengatur saudara-mara dan anak-anak saya turut menjalani ujian itu.

“Beberapa saudara-mara juga disahkan positif, tetapi Kementerian Kesihatan belum menelefon,” kata penjawat awam itu kepada FMT.

Keluarga itu yang menunggu panggilan KKM selama enam hari, tidak tahu apa yang perlu dilakukan mereka. Mereka tidak menerima gelang merah jambu atau petunjuk lain yang mereka harus dikuarantin, walaupun sudah melaporkan diri melalui aplikasi mudah alih MySejahtera.

Lebih teruk lagi, anak-anak di rumah mula menunjukkan simptom, tetapi keluarga itu masih menunggu keputusan ujian mereka. Hanya pasangan penjawat awam itu yang sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Saya mahu membawa anak-anak saya ke hospital, tetapi kerana kami tidak mendapat keputusan, saya tidak tahu apa harus dilakukan. Saya hanya mahu nasihat atau panduan. Kita semua tinggal di rumah sama dan tidak mustahil kita semua di rumah ini dijangkiti.”

Katanya, hospital kerajaan tidak membantu kerana keluarganya cuma dinasihatkan menghubungi 999, jika ada yang menunjukkan gejala teruk Covid-19.

Buat masa ini, keluarga itu meminta rakan membeli ubat untuk merawat mereka yang sakit.

“Mengapa ketika saya positif, Kementerian Kesihatan tidak hubungi keluarga saya yang lain untuk turut menjalani ujian swab? Mengapa kita perlu mengambil inisiatif itu sendiri?

“Bagaimana dengan mereka yang tidak mampu menjalani ujian ini? Ketika ini, ujian ‘polymerase chain reaction’ (PCR) berharga sekitar RM250 seorang.”

FMT sebelum ini melaporkan kes sama, di mana enam sekeluarga di Petaling Jaya tidak menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan selama beberapa hari, selepas disahkan positif.

Mereka hanya mendapat respons selepas mengancam akan menyaman jika ada yang mati. Pun begitu, hanya dua ahli keluarga tua yang dimasukkan ke hospital.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menggesa mereka yang menunggu panggilan Kementerian Kesihatan melaporkan diri melalui MySejahtera dan melakukan penilaian pemantauan gejala dalam aplikasi selama 10 hari berturut-turut.

Pengguna yang berdaftar sebagai kes positif di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) juga akan menerima pemberitahuan melalui SMS dan MySejahtera.

“Jika pengguna mempunyai simptom, maklumat akan terus disalurkan ke Pusat Penilaian Covid-19 dan pengguna akan dihubungi petugas kesihatan untuk penilaian lanjut.”

FMT masih menunggu komen Kementerian Kesihatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");