Berita Hari Ini

Kisah orang terhegeh-hegeh mencari jawatan

Ada seorang teman menceritakan kepada saya perihal kisah ruwet di pejabatnya. Ada seorang yang telah bersara dan usia mendekati batas 70 tahun menjelma.

Urusan pejabat ini sangat menuntut. Kerja-kerjanya besar belaka. Malah dapat dikatakan payah.

Namun demikian Sang Pesara ini telah memberanikan diri untuk memohon jawatan yang rumit ini. Padahal dia tahu dia tidak dapat memenuhi. Akan tetapi angan-angan mengisi benak dan khayalnya.

Menurut teman saya, Sang Pesara ini teramat sukakan jawatan dan disanjung sebagai ketua-ketua pejabat. Pendek kata dia suka menjadi bos.

Pun Sang Pesara dinasihati oleh CEO firma teman saya itu, bahawa jawatan itu tidak sesuai untuknya.

Bahawa kerja yang menunggu sangat rumit. Bahkan krisis yang ada dalam firma itu sangat retak malah sudah belah.

Namun demikian, Sang Pesara berlagak dia serba tahu. Zaman sudah berlalu untuknya tetapi dia tetap teringin.

Maka nasihat Sang CEO itu mati andar begitu sahaja.

Sang Pesara, kata teman saya bermati-matian meminta-minta; terhegeh-hegeh, tergesel-gesel, mengharap-harap untuk menjadi bos meskipun usianya sudah tidak larat. Tetapi dia perlu mempamerkan kekuatannya.

Cerita teman itu membuatkan saya kelu. Saya teringat satu wasiat yang diturunkan oleh Saidina Ali kepada anakandanya Saidina Hasan, ada yang mengatakan ia untuk Muhamad Hanafiyyah, yakni sebaik baginda kembali dari Perang Siffin.

Wasiat itu dikenali sebagai Surat 31.

Dalam warkah penuh madah sasterawi dan rohani itu, intinya antara lain mengingatkan kita kepada kematian.

Kita tidak sedar selalunya jawatan atau kerja itu adalah beban dalam perjalanan. Lebih banyak yang kita miliki dan yang kita sudi pikul (walaupun sebetulnya tak berdaya) lebih lambatlah perjalanan kita di barzakh.

Ia hanya menyulitkan kita di alam kematian.

Pesan Saidina Ali dalam warkah itu:

‘Di sini seseorang dengan beban ringan jauh lebih baik dibanding seseorang dengan beban berlebihan, dan orang yang boleh menempuh perjalanan dengan segera, maka dia akan melintasinya dengan cepat berbanding orang yang lambat menempuh perjalanannya akibat beban yang berat menggayutinya. Lembah ini tak terelakkan akan engkau lalui.’

Namun demikian saudara pembaca, bahagian paling menghunus dan menghiris dari warkah Saidina Ali itu bukan sahaja ingatan dan amanat yang mengingatkan kepada hari Akhirat atau dunia mati yang selalu dialpakan.

Yang lebih menggamamkan ialah Surat 31 itu memberikan contoh-contoh binatang yang sifatnya dipakai oleh manusia.

Dalam erti kata lain orang yang menggila-gila dan terhegeh-hegeh mengejar jawatan itu seibarat binatang.

Pertamanya, Saidina Ali mencontohkan manusia seumpama anjing.

Baginda mengatakan perihal manusia yang sebegini, sebagai: ‘Ingatlah bahawa orang-orang yang cinta dunia tak ubahnya seperti anjing-anjing yang menyalak dan binatang-binatang buas yang kelaparan.

“Sebahagian tak henti-hentinya menyalak kepada sebahagian lain. Yang kuat membantai yang lemah.”

Kita selalu menemui manusia atau insan sebegini. Tingkah laku mereka seperti anjing.

Selagi tidak mendapat sekerat dua tulang selagi itulah ia menyalak, dan menggonggong. Ia menjelirkan lidahnya sambil terengah-engah menyalak-nyalakkan, ‘Nak jadi bos nak jadi bos.’ Atau, ‘Nak jadi piem, nak jadi piem.’ Atau, ‘Nak jadi pengarah, nak jadi pengarah.’ Ia tidak punya malu.

Siapa sahaja melintasi jalan akan ia salak dan ia ngongoi. Perangai ini malah ada pada lebai, mufti, ustaz dan sekian agamawan.

Sementara terdapatnya anjing, kita juga menemukan binatang yang terhempuk, tak ada lagi akal sihat, atau tidak mahu pun menentang sebarang penindasan yang ditala kepadanya.

Kata Imam Ali mengenai manusia seperti ini:

‘Individu yang kuat mengeksploitasi dan menzalimi individu yang lemah. Hasrat tak terkendali dan kerakusan begitu mengendalikan diri mereka sehingga akan engkau lihat sebahagiannya seperti binatang yang dijinakkan dan diikat dengan tali melingkari kedua kaki dan leher mereka.

“Mereka telah kehilangan kemerdekaan berfikir dan tak dapat melepaskan diri dari diperbudakkan hawa nafsu, kecenderungan dan tradisi sendiri.’

Manusia begini, yang lemah dan menyerah telah hilang harga diri. Jika yang seperti anjing itu ia hilang maruah kerana menyalak-nyalak mahukan sesuatu; yang terikat dan lembik ini pula lambang manusia yang wataknya menjilat mengampu tunduk sehingga kita memandangnya sebagai orang yang koro dan bodoh.

Menurut teman saya, di pejabatnya itu ada seorang yang sering dinista dan dihamun, tetapi ia tidak pun melawan atau berusaha mempertahankan harga dirinya.

Ia malah menunjukkan kesediaan dimaki dan ditindas. Hal ini terpakai untuk sekian watak masyarakat yang bersikap tidak apa meski ditutuh dan dilantak oleh orang jahat.

Mereka tidak mengeluh, tetapi sebaliknya akan menghujahkan yang penganiayaan itu wajar dan tak ada salahnya. Ia pokoknya sudah menjadi seperti haiwan yang tidak ada lagi kehormatan.

Saidina Ali malah mengingatkan agar jangan jadi seperti itu, kerana kata baginda; “mereka nampak seperti ternakan yang tersesat di gurun sunyi nan tandus yang tak ada air dan tak ada makanan.

“Tak ada gembala mengurus mereka. Apa yang sebenarnya terjadi kepada mereka adalah bahawa dunia telah menguasai mereka, menyeret mereka sesuka hati, dan memperlakukan mereka seakan-akan buta, kerana sesungguhnya dunia telah membuat mereka tak dapat melihat cahaya ilahiah agama sejati.”

Manusia sebegini sesuai dengan jenis binatang yang buas dan sangat dubuk itu. Mereka adalah makanan, kerana kata Saidina Ali; “mereka melangkah tanpa maksud dan tujuan yang logis di atas panggung menawan yang digelar dunia untuk mereka.

“Mereka benar-benar mabuk kesenangan. Mereka memandang dunia ini sebagai tuhan dan pemberi rezeki.

“Dunia nampak menyenangkan bagi mereka, dan mereka pun sedemikian senang kepada dunia, sampai-sampai mereka lupa dan mencampakkan yang lain.”

Surat 31 ini bukan sahaja terpakai untuk bos teman saya itu, yang saya gelarkan pada awal tulisan ini sebagai Sang Pesara.

Ia terpakai untuk semua.

Hari ini kita melihat ada pemimpin yang terhegeh-hegeh mencari jawatan dan kuasa. Padahal sudah renta.

Tua itu satu perkara, tetapi yang lebih jengkel ialah ia tidak berkemampuan. Jika ia tua tetapi memang berkelayakan tak mengapa juga.

Kita melihat perangai seperti Sang Pesara itu bukan sahaja di sebuah pejabat. Kita melihat ada politikus yang sudah disapa kanser, tetapi tetap jahat membolot kuasa dan segala atur langkahnya penuh muslihat.

Ia tidak takut maut. Ia hanya ingin menunjuk-nunjuk kepada dunia ia berbakat dan bersedia, tetapi orang sekeliling menyaksikan dia sepertinya haiwan.

Sayang, haiwan politik seperti inilah yang memerintah di pejabat, di firma, di negeri, di negara dan ia merosakkan semua urusan kehidupan dengan kebejatan moral oleh keinginan nafsunya yang menggelora.

Apabila teman saya itu bertanyakan apakah nasihat saya untuknya dan kawan-kawan di pejabat yang berdepan dengan Sang Pesara ibarat anjing menyalak yang terhegeh-hegeh mencari jawatan itu?

Saya tidak sempat untuk menghuraikan panjang lebar Surat 31 oleh Imam Ali kepadanya.

Saya mengingat hanya sepenggal dari wasiat baginda.

Penggalan itu berbunyi:

‘Ingatlah jangan sampai dirimu menjadi budak siapa pun. Allah telah menciptakanmu sebagai manusia merdeka.

“Jangan engkau jual kemerdekaanmu hanya untuk mendapatkan sesuatu. Apa yang engkau perolehi dengan menjual kehormatan dan integriti diri atau dengan mau-maunya dihina, sesungguhnya tak ada manfaat dan nilainya.

“Begitu pula, harta dan kekuasaan yang engkau dapatkan dengan jalan kotor, sesungguhnya tak ada manfaatnya.’

Demikian muatan Surat 31 itu mempengaruhi diri sehingga waktu saya pulang dari pertemuan dengan teman itu, yakni ketika Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat ada satu ayat terngiang-ngiang dari wasiat menantu Rasulullah saw yang suci tersebut.

Ayat itu bunyinya indah sekali mengingatkan:

“Rasa pahit kecewa dan miskin sesungguhnya lebih manis berbanding aib meminta.”

Namun seperti yang saya nukilkan di awal tulisan ini; lebih ramai yang suka menjadi anjing. Ini kerana anjing menyalak-menyalak untuk mendapat, atau menyimpan kuasa.

Kita yang insani memandang manusia seperti anjing ini penuh jengkel.

Dia, sang anjing tidak pun merasai dirinya berwatak anjing. Nanti tatkala ia sedar, ia sudah terlambat. Kerana kata Saidina Ali; “siang dan malam itu adalah tunggangan kita menuju kematian.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");