Berita Hari Ini
Like

Majlis Profesor Negara Nafi Keluar Kenyataan Berhubung Proklamasi Darurat

January 14, 2021
961 Views
0 Comments
1 minute read
Majlis Profesor Negara Nafi Keluar Kenyataan Berhubung Proklamasi Darurat

KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPN) menafikan ada mengeluarkan kenyataan berhubung pengisytiharan Proklamasi Darurat dan mengesahkan kenyataan tersebut adalah palsu.

Presiden MPN Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berkata MPN diwakili para ilmuwan negara menerima dan menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat itu.

‘’MPN telah mengadakan mesyuarat melibatkan pakar-pakar perlembagaan, sains politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan Proklamasi Darurat, pandangan dari profesor adalah berdasarkan sudut pandangan, keilmuan dan kebitaraan masing-masing.

‘’Namun pihak MPN melalui mesyuarat itu turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat dilaksanakan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

MPN menyeru rakyat Malaysia  tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk bersama-sama menentukan tempoh darurat yang dilalui itu benar-benar memenuhi matlamat menangani wabak COVID-19.

Katanya, MPN juga menekankan agar agenda ekonomi terus dipertingkatkan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.

Isnin lepas, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos ini sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia dan baginda turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat diturunkan dengan berkesan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.