Berita Hari Ini

PdPR: Guru dipaksa kreatif, murid tiada peranti, menteri goyang kaki?

Lebih seminggu pelajar dan guru-guru mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diarahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di mana Menterinya Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan proses PdPR harus dilakukan secara optimum bermula tahun 2021.

Namun, apa yang berlaku guru-guru masih terkial-kial dengan proses pembelajaran yang menumpukan sepenuhnya kepada pendigitalan apatah lagi murid-murid pula menghadapi kekangan mengikuti PdPR kerana memerlukan peranti yang cukup serta capaian internet yang memuaskan.

Perubahan kaedah pendidikan hari ini dilakukan secara terpaksa akibat pandemik COVID-19 tanpa ada perancangan dan kajian yang teliti sekali gus memaksa guru-guru dan pelajar menghadap PdPR walaupun ilmu pendigitalan yang cetek dalam kalangan guru.

Syazmir Hariz Noorazlan berpandangan walaupun kaedah PdPR yang beroriantasikan digital tetapi kurikulum masih kurikulum bersemuka dan ianya tidak sesuai menyebabkan pembelajaran susah untuk diajar dan difahami.

“Ini pertembungan yang berlaku dengan kaedah penyampaian dengan isi penyampaian sebab itu ramai pakar-pakar dan mantan menteri pendidikan, pemerhati-pemerhati menyatakan kurikulum harus dirombak 100 peratus bersesuaian dengan pelaksanaan.

“Kurikulum yang digunakan secara bersemuka, jadi ia tidak sesuai digunakan mengundang masalah kepada guru-guru yang hendak sampaikan kepada pelajar, begitu juga pelajar susah hendak menerima,” katanya.

Aplikasi ‘google meet’ salah satu kaedah paling canggih yang digunakan para guru untuk menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar namun tidak ramai guru pandai menggunakan kaedah ini.

Malah ada dalam kalangan mereka bertanya sesama sendiri cara untuk menetapkan aplikasi ‘google meet’ untuk
berinteraksi dengan pelajar, ini kerana mereka tidak didedahkan secara total oleh KPM.

“Mereka dahulu semasa di IPG atau universiti mereka tak belajar bagaimana hendak menggunakan PdPR sebab mereka diajar macam mana nak mengajar secara bersemuka.

“Jadi bila tidak ada kursus khas maka guru-guru tidak mahir dalam menguasai kemudahan tersebut, akhirnya penyampaian hendak disampaikan tidak berkesan.

“Kita tahu guru-guru yang menunut ilmu tetapi jika tidak diberikan satu latihan formal daripada pihak KPM
menyebabkan guru-guru tidak reti hendak menggunakan, tambahan pula guru-guru kita masih di ‘posting’ penghujung tahun 80 an, mereka ini adalah guru-guru lama yang tidak mesra pendigitalan.

“Sebab itu ramai hanya menggunakan kaedah ‘Whatsapps’ atau apa sahaja sebab itulah kita dapat aduan daripada ibu bapa, cikgu hanya hantar kerja rumah tidak mengajar yang mengajarnya ibu bapa. Kerana apa? Latihan KPM kepada guru-guru sangat terhad,”ujar Syazmir yang juga AJK Biro Pendidikan AMANAH Nasional.

Perkara ini turut diakui oleh salah seorang guru di sebuah sekolah di Shah Alam yang mahu dikenali sebagai Cikgu Lin.

Beliau juga terkial-kial dalam mengenal kaedah aplikasi ‘google meet’ untuk melancarkan proses pembelajaran dengan anak muridnya namun baginya kaedah ini tidak sama dengan bersemuka yang diamalkan guru selama ini.

“Kami belajar sesama guru untuk menggunakan kaedah ini. Kami kurang ilmu tetapi terpaksa hadap semua ini demi anak bangsa. Kaedah PdPR tidak puas seperti mana kita bersemuka dengan anak murid.

“Selain kami perlu menyediakan segala peranti yang cukup bagi melancarkan PdPR termasuklah capaian internet mesti laju. Kadang-kadang di sekolah capaian internet terhad menyebabkan proses PdPR terganggu,” ujarnya.

Adalah tidak adil bagi kerajaan yang meminta guru-guru kreatif dalam menyampaikan isi kurikulum dengan segala benda terhad tetapi pembuat dasar tidak perlu kreatif hanya tahu bagi arahan.

Murid-murid juga tidak kurangnya menjadi mangsa dalam PdPR ini terutama murid dan pelajar dalam golongan B40 yang langsung tidak ada peranti, tidak cukup peranti dan murid yang berada di pedalaman yang tidak ada capaian internet.

Bagaimana dengan mereka? Tidak ada segala kemudahan dan tidak boleh masuk PdPR akhirnya jadi murid yang tercicir.

Bagi murid di luar bandar adakah mereka mampu terima PdPR tersebut dengan menggunakan data yang banyak, peranti yang canggih untuk mengikuti PdPR, kerajaan kena lihat kesediaan dan kemudahan pelajar.

Jadi tidak hairanlah beberapa laporan mendedahkan anak-anak tidak dapat mengikuti PdPR kerana menunggu ibu pulang dari kerja untuk berkongsi sebiji telefon pintar, begitu juga ada pelajar terpaksa memanjat bukit untuk mendapat capaian internet bagi mengikuti PdPR. Semua ini tidak sepatutnya berlaku lagi pada tahun 2021.

2021 sepatutnya rakyat sudah boleh guna sistem pendidikan yang baru dan mesra pandemik, penggubalan sistem pendidikan sepatutnya dibuat sejak Mei tahun lepas namun sehingga Oktober, November 2020 ianya tidak berlaku.

Kegagalan menguruskan sistem pendidikan semasa pandemik pada 2020 ke 2021 akan memberi kesan kepada generasi akan datang mungkin buta ilmu atau buta huruf.-MD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");