Berita Hari Ini

Saya jumpa Jho Low sekali ‘hanya sekejap’, kata archbishop Cyprus

Seorang archbishop yang mengetuai Gereja Ortodoks di Cyprus berkata, beliau pernah menemui Low Taek Jho atau Jho Low “sekejap dan hanya sekali” selepas ahli perniagaan buruan itu diberikan kerakyatan Cyprus enam tahun lalu.

Bagaimanapun, Archbishop Chrysostomos dipetik Cyprus Mail berkata, beliau tidak menyedari Low – yang menjadi tumpuan skandal 1MDB – disiasat untuk jenayah kewangan.

“Saya menemui Encik Low. Beliau mahu membuat sumbangan, tetapi pada mulanya saya menolak. Beliau bertegas,” katanya dipetik akhbar berbahasa Inggeris itu.

Chrysostomos berkata demikian ketika memberi keterangan di depan panel menyiasat skim kewarganegaraan melalui pelaburan (CBI) Cyprus yang tidak wujud lagi.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Low atas sumbangan itu – yang berjumlah €300,000 – dan berkata ia akan disalurkan kepada Sekolah Teologi.

Ditanya bagaimana beliau terbabit dengan Low, Chrysostomos berkata, ia disebabkan vila dibeli Low sebagai pelaburan yang dibina atas tanah gereja itu.

Dan disebabkan pemaju tidak mempunyai surat ikatan hak milik, beliau menjadi penjamin untuk Archbishopric itu.

Pemaju yang menjual vila kepada Low kemudiannya meminta Chrysostomos menghantar satu nota kepada menteri dalam negeri untuk mempercepatkan kes pasport Low. Surat itu bertarikh 1 Sept 2015.

“Jika pasport itu dikeluarkan dengan cepat, kami juga akan mendapat wang kami,” kata Chrysostomos dipetik Cyprus Mail.

Beliau turut mengakui tidak pernah meneliti latar belakang Low kerana tiada kuasa berbuat demikian, Chrysostomos hanya mengetahui skandal Low kemudian.

“Ketika itulah saya tahu beliau mendapat pasport (Cyprus). Apa yang saya lakukan ialah menghantar sepucuk surat, itu saja.”

Pada 2019, Chrysostomos menafikan laporan berita mendakwa Low mendapat pasport Cyprus pada 2015 dengan bantuannya.

Gereja Ortodoks Cyprus kemudiannya berkata, ia akan memulangkan sumbangan itu.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");