Berita Hari Ini

Sekatan lebih ketat akan bawa malapetaka, kata pakar

Sebuah badan pemikir, seorang ahli ekonomi dan seorang usahawan memberi amaran berhubung langkah sekatan lebih ketat dengan berkata, ia akan memberi kesan sangat besar ke atas ekonomi dan mata pencarian.

Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial; pakar ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams; dan bekas presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa), Koay Chiew Guan, berkata, sekatan penuh boleh membawa malapetaka.

Ketua eksekutif Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, kejatuhan ekonomi berterusan akibat wabak Covid-19 bermakna isi rumah, keluarga dan perniagaan menjadi ” lebih rapuh” berbanding ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pertama kali pada Mac tahun lalu.

Azrul menekankan bahawa iklim ekonomi negara semasa tidak sama dengan iklimnya ketika itu.

“Masalahnya sekarang ialah ramai yang menganggap sekatan sebagai jalan penyelesaian,” katanya kepada FMT.

Dalam catatan di Facebook baru-baru ini, bekas perdana menteri Najib Razak menyeru supaya sekatan lebih ketat dikenakan terhadap sektor seperti pembuatan dan pembinaan, dengan mencadangkan bahawa langkah “bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian” adalah lebih baik daripada berulang kali meletakkan negara di bawah sekatan.

“Hari ini banyak isi rumah, keluarga dan perniagaan tidak cukup sumber untuk digunakan – dan ramai yang sudah terdesak.

“Ekonomi perlu terus berjalan dan keluarga perlu mencari makan. Sekatan yang lebih ketat akan menyaksikan lebih banyak isu kesihatan mental,” kata Azrul.

Berbeza dengan PKP pertama Mac lalu, lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi kali ini, iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Lonjakan kes Covid-19 menyebabkan seluruh negara, kecuali Sarawak, diletakkan di bawah PKP yang akan berakhir pada 4 Feb.

Geoffrey Williams bersetuju dengan Azrul dengan berkata, sekatan adalah “strategi yang gagal” bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia.

“Buktinya ‘ada di depan mata kita setiap hari’,” kayanya.

Malaysia mencatatkan 2,226 kes baharu Covid-19 sewaktu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di lima negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya pada 11 Jan, namun kes harian secara konsisten mengatasi angka 3,000 sejak itu – melebihi paras 4,000 sebanyak tiga kali.

Walaupun tempoh sekatan lebih pendek akan lebih berkesan pada permulaan PKP kali ini, namun Williams berkata, beliau percaya ia akan memberik impak minimum sekiranya dilaksanakan sekarang.

“Tempoh dua minggu pertama (PKP) sudah berakhir, dan ia dilanjutkan hingga 4 Feb.”

“Impak (sekatan yang lebih ketat) akan lebih kurang sama dengan kali terakhir (ia dilaksanakan), namun dari asas yang lebih lemah.

“Kerugian harian akan lebih rendah hanya kerana ekonomi adalah lebih lemah, dan pengangguran dan kesan ke atas mata pencarian akan menjadi lebih buruk,” tambahnya.

Dengan memberi amaran bahawa negara kini berada dalam “perangkap kelangsungan hidup”, Williams meramalkan titik perubahan akan berlaku sekitar enam bulan lagi, atau menjelang akhir tempoh darurat di seluruh negara, iaitu ketika semua sektor sudah kehabisan simpanan.

Beliau meramalkan syarikat akan kehabisan stok dan modal, pengguna pula akan menghadapi pengangguran dan kehabisan simpanan mereka, sementara kerajaan pula kekurangan pilihan pendapatan dan pinjaman.

Williams berkata, ekonomi berisiko terjerumus ke kancah kemelesetan jangka pendek dan juga jangka panjang.

“Jadi kita memerlukan strategi baharu untuk menghindari prospek yang sudah kita duga,” katanya.

Koay turut pesimis mengenai kesan sekatan lebih ketat dengan berkata, sikap tidak peka terhadap SOP mungkin bermakna sekatan lebih ketat tidak akan memberi kesan yang diingini dalam kalangan rakyat.

Sebaliknya beliau meminta kerajaan memfokus kepada usaha mencegah penyebaran Covid-19 di “titik panas” tertentu.

“Mereka harus tahu di mana ia berlaku … di mana datangnya masalah itu … dan berusaha mengatasinya – contohnya seperti perumahan pekerja,” katanya.

“Semua orang akan menderita sekiranya sekatan penuh dikenakan. Itulah masalahnya. Rakyat akan berada dalam dilema dan seluruh ekonomi akan runtuh.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");