Berita Hari Ini

Seludup Daging Beku: Empat Individu Termasuk Pengarah Dua Syarikat Direman

JOHOR BAHRU – Empat individu termasuk pengarah, dua syarikat pengimport daging sejuk beku, dikenakan perintah reman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah penyeludupan daging sejuk beku, awal bulan lepas.

Bernama melaporkan perintah reman sehingga 7 Jan  itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Baharu Nur Izzaty Muhammad, yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Dua lelaki dan seorang wanita yang ditahan merupakan pengarah, pengarah urusan dan kerani dari sebuah syarikat yang diwakili peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan manakala seorang lagi lelaki merupakan pengarah syarikat lain yang diwakili peguam Yap Che Kai.

Kesemua mereka yang berusia antara 39 dan 50 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Kesemua mereka yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9 pagi diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan SPRM.

Terdahulu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan sudah mengenal pasti pengimport daging sejuk beku yang dipercayai terbabit dengan rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

SPRM mendapat kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");