Berita Hari Ini

Terkejut, gadis 16 tahun dirogol dalam lokap polis

Wanita AMANAH melahirkan rasa terkejut mereka dengan peristiwa seorang gadis bawah umur, 16 tahun, dirogol ketika dalam lokap balai polis di Miri.

Ketuanya, Raj Munni @ Aiman Athirah dalam kenyataannya berkata, peristiwa yang berlaku di di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Januari 2021 yang lepas adalah satu berita yang sangat mendukacitakan, mengejutkan dan wajar dikecam sekeras-kerasnya.

“Siasatan menyeluruh darihal insiden tersebut adalah perlu disegerakan memandangkan ia merupakan kes berkepentingan awam, apatah lagi mangsa terlibat adalah seorang yang masih berstatus kanak-kanak dan insiden malang itu berlaku dalam pusat tahanan di bawah kendalian pihak berkuasa yakni polis,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Negara dalam satu kenyataannya.

Bagi beliau, peristiwa ini sangat jelas bahawa balai polis kini bukan lagi satu tempat yang selamat kepada awam khususnya kanak-kanak, “dan ini sama sekali tidak boleh kita terima dan kita biarkan.”

Keadaan ini, katanya, sudah jauh lebih daripada serius untuk Ketua Polis Negara,Tan Sri Hamid Bador mengkaji semula SOP lokap, sekaligus melakukan pembaharuan urustadbir lokap dan pusat tahanan sepertimana yang didesak oleh masyarakat dan kumpulan hak asasi manusia selama ini.

Katanya, pihak kerajaan dan polis wajib memastikan keselamatan yang ketat terutama antara tahanan lelaki dan wanita bagi memastikan perlindungan sepenuhnya diberi kepada setiap tahanan sepanjang mereka berada dalam pasungan untuk siasatan polis.

“Seperkara yang juga mengejutkan adalah apabila dua anggota polis yang bertugas pada malam kejadian hanya diambil tindakan digantung kerja.

“Sewajarnya dua anggota tersebut disiasat segera di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, khususnya di bawah Seksyen 31,” kata beliau.

Akta itu memperuntukkan bahawa mana-mana orang, menjadi orang yang menjaga anak – menyalahgunakan, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan anak atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan dia cedera fizikal atau emosi.

Atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera, diabaikan, ditinggalkan atau didedahkan atau melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak itu atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera sedemikian melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM50, 000 atau penjara tidak lebih dari 20 tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau juga menggesa Pesuruhjaya Polis Sarawak segera menjelaskan :-

1) siapakah suspek terlibat yang telah membuka sel kanak-kanak itu dengan awalnya bertanya kepada mangsa sama ada dia mahu menggunakan tandas di dalam lokap, sebelum akhirnya merogol kanak-kanak malang itu?

2) bagaimana suspek tersebut boleh memiliki kunci sel lokap kanak-kanak malang itu?

3) mengapa tahanan kanak-kanak perempuan ini tidak diasingkan daripada sel tahanan orang-orang lelaki dan dewasa?

3) mengapakah tiada warden atau anggota polis wanita yang mengawal sel lokap tahanan gadis/ wanita?

4) Seksyen 85 Akta Kanak-Kanak 2001 telah menetapkan pengaturan yang sesuai untuk mangsa yang masih di bawah umur ketika dia berada di bawah jagaan mereka, bahawa mereka mesti dipisahkan dari orang dewasa di balai polis, tempat tahanan atau mahkamah. Mengapakah peruntukan undang-undang sepenting ini gagal dipatuhi oleh pihak polis sendiri?

5) tidakkah seolah-olah kejadian ini seperti disengajakan dan sepertinya telah biasa berlaku? Bezanya barangkali ialah tiada pihak yang berani melaporkannya?

Pihak polis, katanya, tidak boleh hanya mengambil sikap wewenangan dan lepas tangan. Ini ternyata adalah kecuaian pihak berkuasa polis, dan mereka perlu sepenuhnya mengambil tanggungjawab.

“Kegagalan mematuhi peraturan lokap dan prosedur operasi standard (SOP) dalam tahanan telah mengakibatkan berlakunya jenayah di kalangan tahanan dalam premis pihak berkuasa polis sendiri. Ini bukan sahaja menakutkan, bahkan sama sekali tidak boleh didiamkan!” kata beliau lagi.-MD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");