Berita Hari Ini

Adakah Tommy Thomas tuduh Agong main politik, kenapa tutup kes Guan Eng, Azmin, soal Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menyelar bekas peguam negara, Tommy Thomas kerana mempersoalkan kewibawaan pihak istana dan memilih bulu dengan hanya mengulas kes tertentu dalam buku ditulisnya.

“Apabila dia kata Agong mahu Wan Azizah jadi perdana menteri untuk ganti Mahathir yang letak jawatan, apakah Tommy (Thomas) menuduh Agong main politik?” soal Puad.

Beliau mengulas dakwaan Thomas ketika Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong mahu melantik Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi perdana menteri sementara.

Bagaimanapun, Thomas berkata, Agong tidak berbuat demikian apabila Mahathir mahu dilantik ke jawatan itu, demikian menurut bukunya bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang dipasarkan Sabtu lalu.

Puad berkata, selain mempersoalkan agenda pihak Istana Negara, Thomas tidak telus dalam bukunya kerana gagal mengulas kes berprofil tinggi tertentu.

“Hairan juga kenapa tidak tulis pasal Lim Guan Eng. Kenapa tidak dedah bagaimana kes (rasuah) Guan Eng digugurkan? Mustahil dia tidak rujuk kepada Mahathir sebelum kes itu dibuang?

“Tommy juga tidak sentuh isu Azmin Ali. Sepatutnya dia bertanya kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, betulkah video itu kabur,” katanya dalam kenyataan.

Selepas dilantik peguam negara susulan penubuhan kerajaan oleh Pakatan Harapan pada Mei 2018, Thomas menarik balik pendakwaan rasuah terhadap Lim setelah setiausaha agung DAP itu dilantik sebagai menteri kewangan.

Kemelut video seks yang dikaitkan dengan Azmin pula disiasat polis yang memutuskan wajah pelaku dalam rakaman itu tidak jelas untuk membolehkan sebarang tindakan lanjut diambil.

Puad berkata, pendedahan “terpilih” Thomas dalam bukunya hanya cubaan beliau untuk dilihat bertindak adil ketika menjadi peguam negara, namun realiti sebaliknya.

“Tommy sebenarnya mahu mengesahkan apa yang dibuatnya selama menjadi peguam begara adalah betul. Dia rasa malu kerana hanya menjadi peguam negara tidak sampai sepenggal.

“Biografinya mendedah lebih banyak pekung di dada. Ia bukti Tommy adalah peguam negara lantikan politik.”

Beliau menyifatkan Thomas sebagai “peguam negara terburuk dalam sejarah keadilan negara”.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");