Berita Hari Ini

Bank Negara, Kementerian Kewangan sedang runding dana rawatan Covid-19 di hospital swasta

Rundingan sedang diadakan antara Bank Negara dan Kementerian Kewangan untuk syarikat insurans menubuhkan kumpulan dana bagi menampung kos rawatan Covid-19 di hospital swasta.

Dr Kuljit Singh, presiden Persatuan Hospital Swasta berkata, hospital swasta sudah membincangkan isu itu dengan syarikat insurans, tetapi ia nampaknya tidak mendatangkan hasil yang baik.

Katanya, syarikat insurans masih menolak idea menanggung kos rawatan untuk pesakit Covid-19.

Bercakap di forum dalam talian anjuran Persatuan Perubatan Malaysia, beliau berkata, syarikat insurans bimbang mereka tidak mampu menanggung bayaran Covid-19.

“Mereka menilainya berdasarkan data Kementerian Kesihatan – jangkitan Covid-19 dan jumlah pesakit yang akan dirawat di unit rawatan rapi.

“Mereka bimbang jika jumlah itu meningkat, mereka tidak mampu membayarnya.”

Katanya, pandemik tidak dilindungi insurans kesihatan kerana ia sebahagian daripada klausa pengecualian dalam polisi mereka.

Beliau berkata, pengumuman dana RM100 juta untuk hospital swasta baru-baru ini hanya untuk pesakit yang dipindahkan dari hospital kerajaan ke sektor swasta.

“Apabila mereka memutuskan untuk dipindahkan, akan ada perbincangan antara pakar sama ada mahu menerima pesakit itu atau tidak, dan mereka akan tentukan bayaran itu berdasarkan had tertentu.

“RM100 juta itu bukan untuk pesakit Covid-19 swasta.”

Kuljit berkata, hospital swasta dijangka terus menanggung kerugian tahun ini kerana mungkin tidak ramai pesakit mendapatkan rawatan kerana ragu-ragu sebaik saja mereka mula bercakap mengenai pengambilan pesakit Covid-19.

“Apabila anda menerima seorang pesakit Covid-19, kita juga perlu menutup beberapa katil di kawasan tertentu. Kita juga perlu menanggung kerugian itu. Ada banyak kos tersembunyi untuk merawat pesakit Covid-19 yang hospital swasta tidak akan kenakan kepada pesakit kami.”

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu tampil dengan satu rancangan untuk membantu pesakit Covid-19, tidak kira mereka ke hospital kerajaan atau swasta.

Beliau berkata, hospital swasta yang menerima pesakit Covid-19 akan memisahkan pesakit Covid dan bukan Covid. Mereka juga mempunyai kapasiti terhad untuk mengambil pesakit itu.

“Selepas kita memenuhi kapasiti yang kita umumkan, kita berhenti di sana. Kemudian kita akan ke ‘Joint Command Centre’ di KKM dan beritahu mereka, kita sudah penuh. Kita menyesuaikan kapasiti kita berdasarkan keselamatan, untuk pesakit dan doktor.”-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");