Berita Hari Ini
Like

Hanya 500 daripada 11,000 tahanan yang layak, dibebaskan, kata Nurul Izzah

February 13, 2021
6 Views
0 Comments
2 minutes read
Hanya 500 daripada 11,000 tahanan yang layak, dibebaskan, kata Nurul Izzah

Ahli Parlimen PKR Nurul Izzah Anwar mendedahkan bahawa hanya 500 daripada 11,000 penjenayah tidak terbabit kekerasan yang layak menyertai program pembebasan awal, telah dibebaskan.

Program itu dirangka untuk mencegah kesesakan di pusat tahanan dan penyebaran virus Covid-19 yang tidak terkawal namun menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh itu jumlah yang dibebaskan setakat ini “jauh tidak mencukupi.”

“Meskipun ada pernyataan dan rancangan untuk membebaskan ribuan tahanan, terkini kami diberitahu bahawa hanya 500 dibebaskan. Ini jauh tidak mencukupi,” katanya dalam wawancara di Astro Awani yang membincangkan isu pembaharuan penjara.

Nurul, yang juga sebahagian daripada All-Party Parliamentary Group Malaysia for the Reform of All Places of Detention (APPGM) berkata tiada maklum balas dari kementerian dalam negeri tentang mengapa hanya 500 orang yang dibebaskan.

Pada Jan lalu, APPGM telah meminta agar 11,000 tahanan kesalahan kecil yang tidak ganas dan dijatuhkan hukuman kurang dari satu tahun dibebaskan untuk mengurangkan kesesakan di penjara dalam usaha untuk membendung penyebaran Covid-19.

APPGM difahamkan bahawa Jabatan Penjara telah mengenal pasti tahanan yang akan menyertai program ‘Release on License’ (ROL) tersebut.

Nurul Izzah turut berkata bahawa Jabatan Penjara mempunyai rangka tindakan untuk membebaskan 75% penjenayah tanpa kekerasan yang layak dan hanya menanti “tindakan daripada mereka yang berkuasa”.

Beliau menegaskan, ada keperluan untuk membebaskan 11,000 tahanan ketika ini kerana banyak kluster penjara telah muncul dan kini menjangkiti komuniti.

Tambahnya, penjara di seluruh negara hanya memiliki kapasiti untuk menampung 52,000 orang, tetapi pada 20 Nov, sejumlah 62,000 tahanan direkodkan dipenjara.

Daripada jumlah tersebut, 6,470 telah dijangkiti Covid-19.

“Tapi apa yang lebih membimbangkan adalah pengumuman menteri pertahanan yang mempertimbangkan untuk menempatkan lebih ramai pesalah yang melanggar SOP perintah kawalan gerakan ke penjara.

“Kita memerlukan pendekatan yang sistematik. Sekiranya ia ditangguhkan lagi, lebih ramai akan dijangkiti.”-FMT

Comments are closed.