Perak Hari Ini

Inspektor polis mengaku tak salah minta rasuah tutup kes judi

 Seorang inspektor polis mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Firdaus Khalid, 37, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Firdaus yang bertugas sebagai inspektor (D9) risikan di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak didakwa meminta suapan berjumlah RM1,000 hingga RM1,500 daripada Woo Kin Soon, 36.

Suapan itu diminta sebagai dorongan untuk tertuduh menyediakan laporan pakar judi yang negatif bersabit kertas siasatan IPOH/JSJ/KS/1333/19.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas, 24 Jun 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh kerana kes itu membabitkan kepentingan awam, bagaimanapun Salihen memohon ia dikurangkan antara RM5,000 hingga RM8,000 kerana anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan selain penanggung tunggal isteri dan tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan semula kes.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");