Berita Hari Ini

‘Kenapa sarung tangan tak dikenakan pada perniagaan lain?’

Walaupun terpaksa akur dengan peraturan baru yang ditetapkan oleh kerajaan berhubung pemakaian sarung tangan bagi pelanggan yang memasuki premis mereka, terdapat pengusaha pakaian mempertikaikan keputusan tersebut.

Rata-rata pengusaha kedai pakaian yang ditemui Malaysiakini mempersoalkan keperluan tersebut memandangkan kebanyakan mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga seperti mensanitasi kedai, mengehadkan jumlah pelanggan dan tidak membenarkan pelanggan menggunakan bilik persalinan.

Salah seorang pemilik kedai baju, Melati Bachik mengadu berhubung peraturan baru itu kerana walaupun sarung tangan pakai buang tidak memakan kos yang besar tetapi jualannya masih belum “pulih” untuk menyerap kos tambahan lain.

Malah dia turut mempersoalkan mengapa perniagaan lain yang melibatkan sentuhan seperti kedai emas tidak memerlukan peraturan sedemikian.

“Bila kenakan syarat macam tu orang akan tak jadi masuk (kedai). Scan (MySejahtera) pun kadang-kadang mereka tak nak.

“Tak boleh cuba (baju), mereka (pelanggan) akan faham sebab mereka pun takut. Tapi sarung tangan tu penting ke? Kenapa kedai emas tu tak perlu pakai?” soalnya yang mengakui jualan kedainya merosot secara mendadak.

Melati turut berharap supaya perniagaannya dapat beroperasi seperti biasa ketika bulan Ramadan pada April ini.

Katanya, meskipun kedainya akan menanggung kos sarung tangan kepada pelanggan yang datang, namun tidak semua pelanggan yang datang akan membuat pembelian.

“Ada yang datang tengok-tengok saja tapi beli tak beli kita tak tahu,” katanya yang menganggarkan menanggung kos sarung tangan pakai buang sebanyak RM300 sebulan.

Hanya temu janji

Sejak perintah kawalan pergerakan kali kedua dilaksanakan pada 13 Januari lalu berikutan peningkatan jangkitan Covid-19, beberapa perniagaan termasuk kedai-kedai pakaian tidak dibenarkan operasi.

Pada 9 Feb lalu, Menteri Keselamatan (Kanan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa sektor peruncitan, yang meliputi pakaian, fesyen, aksesori, dan kedai kasut boleh dibuka semula.

Bagaimanapun, Ismail Sabri secara khusus mengingatkan para pengusaha pakaian dan gerai fesyen untuk memberikan pelanggan sarung tangan pakai buang ketika mereka memasuki premis.

Bagi penyelia butik, Akhbar Radzuan pula berkata butik mereka hanya menerima tempahan berdasarkan temu janji bagi langkah berjaga-jaga.

Bagaimanapun, dia turut merasakan peraturan baru itu perlu dikenakan terhadap perniagaan-perniagaan lain yang melibatkan sentuhan.

“Kita faham mereka (pelanggan) nak tengok (baju) dan sebab tu kita sanitise selalu.

“Mana-mana baju kita tak akan bagi cuba… Kita akan ikut ukuran mana yang sesuai dengan saiz,” katanya.

Dia turut memberitahu bahawa kedai mereka akan turut menanggung kos sarung tangan kepada pelanggan walaupun terpaksa berdepan dengan pelanggan yang tidak membeli.

Lebih-lebih lagi apabila jualan mereka telah merudum sekitar 70 peratus sejak PKP.

Tambahnya, sebelum PKP kebanyakan pelanggan tidak berkira-kira untuk berbelanja untuk membeli busana perkahwinan yang berharga RM2,000 hingga RM3,000 tetapi kini mereka akan berfikir masak-masak kerana kekurangan peruntukan.

Belum bersedia sepenuhnya

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini di sekitar Shah Alam, terdapat beberapa unit kedai pakaian yang masih tidak beroperasi kerana difahamkan masih belum bersedia.

Menurut Nurul, seorang pekerja di kedai selendang berkata kemungkinan kos tersebut akan ditanggung oleh kedai tetapi katanya ia masih dalam pertimbangan.

“Kita tak sediakan sarung tangan lagi. Mungkin akan ditanggung tapi saya pun tak pasti lagi sebab kedai kita belanjakan untuk hand sanitizer pun dah banyak.

“Tambah lagi dengan tak buka kedai masa PKP hari tu,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Razali Tuan Yusof, kakitangan di sebuah gedung tekstil bersikap positif dengan prosedur operasi standard (SOP) terbaru itu.

Menurutnya, gedung tekstil mereka akur dengan SOP kerajaan itu memandangkan ia sebahagian daripada langkah mengelakkan jangkitan.

“Kos untuk ditanggung tak adalah besar sangat sebab ia kos untuk sarung tangan pakai buang.

“Kita ikut saja dan bersyukur kerajaan bagi buka awal,” katanya.

Bagaimanapun, secara peribadi, dia turut mempunyai pendapat yang sama seperti lain dengan mencadangkan peraturan baru itu turut dikenakan kepada perniagaan yang melibatkan sentuhan.

“Apa yang kerajaan buat kita ikut sajalah, ada sisi kebaikan. Norma baru.. macam perlu pakai mask. Tapi dah pakai hari-hari dah biasa,” katanya. -Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");