Berita Hari Ini

Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung seks luar tabii terpakai di semua negeri, kata peguam

Mana-mana peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri yang menjadikan seks luar tabii sebagai suatu kesalahan bagi orang Islam terbatal susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, kata seorang peguam.

“Peraturan seumpamanya di negeri lain akan mengalami nasib yang sama seperti di Selangor,” kata peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Rafique berkata, keputusan itu boleh dikuatkuasakan di negeri lain melalui teladan atau analogi walaupun pertikaian dalam kes ini adalah antara individu beragama Islam terbabit dengan kerajaan Selangor serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya, pendakwaan yang dibuat berdasarkan enakmen sedemikian, sama ada di Selangor atau di negeri lain, kini menjadi tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mahkamah tertinggi itu tidak melabelkan kesalahan itu sebagai tidak Islamik, tetapi sebaliknya memilih untuk memfokus kepada isu keperlembagaan enakmen tersebut.

Beliau mengulas keputusan panel sembilan hakim yang berkata bahawa negeri boleh meluluskan undang-undang mengenai kesalahan orang Islam yang menyalahi ajaran Islam, tetapi tidak boleh melakukannya jika kesalahan tersebut termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Sekiranya sesuatu kesalahan itu termasuk dalam salah satu perkara dalam Senarai Persekutuan, termasuk undang-undang jenayah, maka negeri tidak boleh meluluskan enakmen mengenainya.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata sedemikian ketika membenarkan permohonan seorang lelaki berusia 35 tahun bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Lelaki itu, yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, mencabar kuasa badan perundangan negeri Selangor untuk meluluskan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Tengku Maimun berkata bahawa kes itu tidak mempertikaikan liwat, salah satu kesalahan yang disebut dalam Seksyen 28 yang menjadi asas dakwaan ke atas lelaki tersebut, menyalahi ajaran Islam.

Versi persekutuan bagi Seksyen 28 itu adalah liwat di bawah Seksyen 377 dan hubungan seks luar tabii di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, harus diterima bahawa peruntukan Kanun Keseksaan yang relevan diluluskan oleh Parlimen mengikut maksud perkara 3 dan 4 dalam Senarai Persekutuan.

Terma dalam perlembagaan dan sejarah penggubalannya, kata beliau, menyebut dengan jelas bahawa kuasa utama perundangan persekutuan terletak pada Parlimen.

Tengku Maimun juga berpendapat bahawa Seksyen 28 diluluskan bercanggah dengan perkara 1 dalam Senarai Negeri, yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang berkaitan perkara dalam Senarai Persekutuan.

Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa kuasa tertinggi terletak pada perlembagaan, bukan badan perundangan negeri.

“Kuasa badan perundangan negeri dikawal oleh perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Beliau berkata, Parlimen tidak boleh “berpura-pura” membuat undang-undang di bawah Senarai Persekutuan dan menceroboh sesuatu perkara dalam Senarai Negeri, begitu juga sebaliknya.

“Untuk menjaga keseimbangan antara kuasa persekutuan dan negeri, mahkamah berfungsi sebagai pelindung perlembagaan,” katanya.

Sri Ram berkata, ini ditunjukkan dengan tepat dalam keputusan semalam apabila kerajaan persekutuan dan negeri mesti mengetahui had perlembagaan mereka dan badan kehakiman wujud untuk memastikan tidak berlaku pertindihan.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");