Berita Hari Ini
Like

Kerajaan hadkan harga RON95 RM2.05, diesel RM2.15 seliter

February 10, 2021
8 Views
0 Comments
1 minute read
Kerajaan hadkan harga RON95 RM2.05, diesel RM2.15 seliter

Kerajaan bersetuju meletakkan had harga siling produk petrol RON95 pada harga RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak yang ketara apabila harga sebenar minyak di pasaran global meningkat.

“Paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan terdahulu pada 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya dalam kenyataannya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata keputusan itu diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

Katanya, trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi Covid-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.

“Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula akhir Feb 2021,” katanya.

“Kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah

yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.-FMT

Comments are closed.