Berita Hari Ini

Kompleks tiada pengunjung, hotel tiada penghuni

Walaupun musim perayaan dan cuti Tahun Baharu Cina sebelum ini diharapkan dapat merangsang kunjungan ke kompleks beli-belah dan meningkatkan penginapan di hotel, tetapi keadaan suram terus menyelubungi dua sektor ekonomi itu.

Oriental Daily melaporkan, kadar kunjungan di pusat beli-belah di Lembah Klang telah menjunam sebanyak 95 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

China Press dalam masa yang sama pula melaporkan sebanyak 100,000 orang dalam industri perhotelan berdepan risiko hilang kerja jika hotel-hotel terus menggulung tikar.

Pusat beli-belah pada asalnya mengharapkan musim perayaan Tahun Baharu Cina akan merangsang jualan, tetapi kuasa beli pengguna nampaknya juga tidak sekuat yang diharapkan.

Selain itu, pusat membeli-belah yang tidak mempunyai pasar raya juga perlu ditutup sepenuhnya dalam tempoh PKP 2.0.

Oriental Daily melaporkan, pihak pengurusan kompleks justeru mempertimbangkan untuk menawarkan rebat dan potongan sewa untuk mengharungi masa sukar ini.

Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, rebat cukai merupakan salah satu cara yang dipertimbangkan untuk membantu kedai yang tidak dapat beroperasi dalam tempoh PKP.

“Semasa PKP 1.0, kami juga menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti rebat sewa, melakukan promosi serta memberi kupon diskaun. Bantuan seperti ini juga akan dipertimbangkan dalam PKP 2.0,” katanya.

Sementara itu, hotel kecil dan sederhana di pusat bandar Kuala Lumpur dilaporkan mengalami penurunan perniagaan sebanyak 90 hingga 95 peratus.

Jumlah hotel yang tutup juga dikhuatiri akan terus meningkat sekiranya kerajaan tidak memberikan bantuan.

Walau bagaimanapun, China Press melaporkan, pihak pengusaha terus berikhtiar untuk mencari pelanggan termasuk menyediakan pakej kuarantin rumah khususnya kepada golongan yang memerlukan tempat kuarantin yang selesa.

Terdapat hotel antaranya menawarkan pakej kuarantin tujuh dan 14 hari, tetapi pelanggan perlu menerima keputusan negatif dalam ujian saringan COVID-19 sebelum menjalani kuarantin di hotel. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");