Berita Hari Ini

Mahkamah tolak permohonan semakan kehakiman MUDA atas penolakan JPPM untuk daftar parti

 Mahkamah Tinggi menolak permohonan MUDA untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan tidak mendaftarkan parti itu.

Hakim Mariana Yahya memerintahkan bahawa MUDA, yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya memfailkan rayuannya terlebih dahulu kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, bukannya memfailkan tindakan mahkamah.

Mariana, yang menyampaikan keputusan mahkamah hari ini melalui aplikasi Zoom, mendengar hujah peguam mewakili parti itu, Tommy Thomas, dan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi pada 25 Jan.

MUDA, melalui Syed Saddiq dan 12 ahli penaja, cuba mencabar keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang menolak untuk mendaftarkannya sebagai sebuah parti.

Parti itu mendakwa, menteri dalam negeri dan JPPM bertindak secara “ultra vires” terhadap Akta Pertubuhan atas keputusan tidak mendaftarkan partinya, maka keputusan itu adalah batal dan tidak sah.

MUDA berkata, JPPM memaklumkan mengenai keputusannya dalam e-mel pada 6 Jan, tetapi tidak memberikan sebab.

Selain MUDA, JPPM juga menolak permohonan Pejuang, yang dipimpin bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, untuk didaftarkan.

Syed Saddiq, dalam afidavitnya yang dilihat FMT, mendedahkan Hamzah “memancing” beliau untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) jika mahu pendaftaran MUDA diluluskan.

Ahli Parlimen Muar itu mendakwa, perbincangannya dengan menteri yang mengawasi JPPM itu berlangsung di Dewan Rakyat akhir tahun lalu semasa Belanjawan 2021.

Syed Saddiq mendakwa, Hamzah turut berkata, walaupun beliau (Syed Saddiq) menentang rang undang-undang kerajaan, beliau tidak seharusnya menghadiri sesi Dewan Rakyat ketika proses pengundian diadakan.

“Saya terperanjat. Saya menjawab dengan mengatakan bahawa saya tidak boleh melepaskan tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen dan akan selalu mengundi mengikut hati nurani saya dan kepentingan konstituen saya,” katanya dalam afidavit itu.

Semalam, Hamzah memberitahu pemberita beliau sudah menerima rayuan daripada Pejuang untuk pendaftaran, tetapi belum menerima apa-apa daripada MUDA.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");