Berita Hari Ini

‘Mohon bertaubat’ pesanan mengejutkan dalam nota tolak permohonan ke luar negara

Seorang lelaki mendakwa dimaklumkan jabatan imigresen supaya ‘bertaubat’ selepas permohonannya untuk ke luar negara bagi melawat teman lelakinya ditolak.

Lelaki dikenali sebagai “Adam” memberitahu FMT, beliau mengemukakan kira-kira 30 permohonan untuk keluar dari negara sejak sekatan pergerakan dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu.

Semua penolakan itu dibuat atas alasan “kekurangan dokumen sokongan” atau “perjalanan yang tidak perlu.”

Bagaimanapun, beliau terkejut dengan penolakan terbaru apabila sebab penolakan diletakkan sebagai “Others (lain-lain) – Mohon Bawa Bertaubat”.

Adam berkata, sebab utama mahu meninggalkan Malaysia adalah untuk membuat persiapan diperlukan bagi bermastautin di Eropah. Beliau membuat permohonan My Travel Pass sekali lagi minggu lalu, namun terkejut apabila jawapan rasmi menyatakan sedemikian.

Beliau percaya ini disebabkan satu daripada dokumen sokongannya mendedahkan pasangannya sama jantina berdasarkan namanya.

“Saya tidak terkejut permohonan ditolak sekali lagi. Namun memang mengejutkan apabila melihat mesej yang meminta saya bertaubat,” katanya dengan menambah ini kali pertama beliau mendapat respons sebegitu tidak profesional.

Adam berkata beliau putus harapan untuk meninggalkan Malaysia buat masa ini memandangkan negara yang mahu ditujunya turut menutup sempadan baru-baru ini. Katanya, sementara itu beliau akan menanti masa mendapat vaksin terhadap virus korona.

Penolakan permohonan “Adam” bersertakan pesanan supaya bertaubat.

Sempadan Malaysia ditutup sejak Mac tahun lalu sebagai sebahagian daripada langkah membendung jangkitan Covid-19. Bagaimanapun, rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara bagi tugas rasmi untuk menghadiri mesyuarat, atau untuk tujuan perniagaan, perubatan serta kecemasan.

Pemohon perlu menyerahkan salinan surat jemputan (bagi lawatan rasmi); surat rujukan doktor atau sijil kematian yang relevan; atau dokumen sokongan lain.

FMT menantikan jawapan Jabatan Imigresen.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");