Panasnya Hari Ini

Nak kembali ke Umno perlu masuk bengkel, kelas khas – Ku Nan

Sesiapa yang ingin kembali ke pangkuan Umno perlu terlebih dulu menyertai bengkel atau kelas khas, saran Bendahari Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, ini penting bagi memastikan mereka yang ingin kembali menyertai Umno memahami dan menghayati nilai perjuangan parti itu terlebih dulu.

“Nak kembali sertai Umno, mudah sahaja. Namun sewajarnya masuklah dulu bengkel atau kelas khas bagi memahami asas dan tujuan penubuhan Umno.

“Fahami dan hayati setiap nilai perjuangannya kerana tentunya tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat ‘u-turn’ di atas jalan raya.

“Biarpun nyata pentas politik sentiasa berubah namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksana,” tulis Tengku Adnan dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 17 Feb lalu, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui dia masih menyayangi parti pertama yang pernah dipimpinnya iaitu Umno sehingga kini.

“Ya, saya masih sayang Umno, 22 tahun saya jadi Presiden Umno,” katanya pada program ‘Bersama Tun M’.

Bagaimanapun, Pengasas Bersatu yang kini Penasihat parti Pejuang itu meletakkan syarat sekiranya ada pihak yang mahu beliau kembali kepada parti lamanya itu.

“Yalah, kalau Umno pegang balik kepada dasar awalnya berjuang untuk bangsa, untuk negara, untuk agama saya boleh kembali kepada Umno tetapi ‘penyangak-penyangak’… apa semua (itu) saya tidak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Membalas kenyataan Mahathir, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membidas bekas pengerusi Bersatu yang pernah memintanya supaya membubarkan Umno.

Dalam pada itu Tengku Adnan menyindir pihak yang “kepanasan” dengan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Jumaat lalu.

Katanya, ada individu yang dulu melompat meninggalkan parti itu sewaktu Umno hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tetapi hari ini mula bersuara.

“Ada pihak yang tak henti-henti menyentuh tentang Umno hinggakan menggesa supaya memaklumkan apa-apa keputusan mesyuarat kepimpinan sedangkan mereka ini bukan ahli Umno.

“Ada juga yang membandingkan pentadbiran kerajaan hari ini mahupun sewaktu kerajaan PH (Pakatan Harapan) dengan zaman BN. Ya, barangkali rindu zaman BN.

“Tak apalah, kan tempat jatuh lagi dikenang, apatah lagi tempat yang telah menaikkan nama dan jadi batu loncatan mereka untuk mendapat kuasa,” sindir Tengku Adnan.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");