Berita Hari Ini

Penangan Covid-19, kadar pengangguran Malaysia melonjak tertinggi sejak 1993

Pengangguran di Malaysia melonjak kepada 772,900 orang pada kadar 4.5 peratus pada akhir tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan angka itu adalah kadar pengangguran tertinggi sejak 1993 iaitu sebanyak 4.1 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata krisis kesihatan memberi kesan besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh pra-krisis.

“Berikutan negara mengalami permintaan buruh yang lebih perlahan pada 2020 disebabkan impak negatif pandemik Covid-19, bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,000 orang,” katanya.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus atau 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatatkan penurunan kecil pada bulan sebelumnya.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend yang semakin meningkat terutama dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; kesihatan kemanusiaan & kerja sosial; maklumat & komunikasi dan pendidikan.

Bagaimanapun, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan & penyimpanan; dan kesenian, hiburan & rekreasi terus menurun yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri berkenaan.

Guna tenaga dalam sektor pembuatan terus merekodkan pertumbuhan positif pada Disember 2020.

Sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend negatif bagi bulan kelima, manakala sektor pembinaan turut mencatatkan penurunan bulan ke bulan.

Dari segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 peratus (+23,500 orang) kepada 11.81 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatatkan pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.4 juta orang pada Disember 2020.

Kumpulan itu terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; ‘freelancers’; serta pekebun kecil.

Bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat kepada 146,200 orang berbanding November 2020 (142,000 orang) disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang bulan itu serta cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.

Kumpulan itu, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.

Keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi, memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh.

Oleh itu, pasaran buruh pada bulan itu kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 27,8000 orang kepada 15.99 juta orang.

Sementara itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada bulan berkenaan adalah pada 68.4 peratus.

Mengenai kedudukan penawaran buruh pada suku tahun keempat 2020, Mohd Uzir berkata, keadaan pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur dengan tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat berbanding suku sebelumnya, masing-masing mencatatkan 15.92 juta orang dan 15.16 juta orang.

Beliau berkata, sepanjang 2020, berdasarkan data purata suku tahunan, KPTB pada 2020 menurun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus.

Katanya, dalam tempoh yang sama, bilangan penduduk bekerja menurun 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang berikutan ketidakpastian dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi pada tahun berkenaan.-MD

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");